Isnin, 6 Disember 2021 | 12:03pm
Ketua Menteri Sarawak merangkap Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Tan Sri Abang Johari Abang Openg mengangkat tangan kepada penyokong selepas menyerahkan borang penamaan calon di Pusat Penamaan Calon DUN N.26 Gedong di Dewan Masyarakat Gedong, Kampung Gedong. - Foto NSTP/Aizuddin Saad
Ketua Menteri Sarawak merangkap Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Tan Sri Abang Johari Abang Openg mengangkat tangan kepada penyokong selepas menyerahkan borang penamaan calon di Pusat Penamaan Calon DUN N.26 Gedong di Dewan Masyarakat Gedong, Kampung Gedong. - Foto NSTP/Aizuddin Saad

Sokong GPS, fikir masa depan anak cucu - Abang Jo

GEDONG: Pengundi wajar memberikan sokongan kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi membolehkan dasar pemulihan ekonomi dan sosial akibat pandemik COVID-19 diteruskan tanpa gangguan.

Pengerusi GPS, Tan Sri Abang Johari Abang Openg, berkata kerajaan negeri yang diterajui parti itu telah melaksanakan dasar berkenaan dan rakyat perlu memainkan peranan untuk memastikan ia tidak terjejas akibat perubahan tampuk kepemimpinan.

"Kerajaan kita sekarang mempunyai dasar-dasar sosial dan ekonomi sehingga 2030 dan disebabkan oleh COVID-19, kita nak pulihkan keadaan ekonomi kita.

"Saya harap rakyat juga memainkan peranan dengan melihat masa depan Sarawak untuk anak cucu mereka," katanya dalam sidang media selepas proses penamaan calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Gedong, hari ini.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak 18 Disember ini, Abang Johari ditentang calon Parti Sarawak Bersatu (PSB), Mohamad Sofian Fariz Sarbini; calon Parti Amanah Negara (AMANAH), Kamal Bujang dan calon Parti Bumi Kenyalang (PBK) Tomson Ango.

Ini adalah kali pertama Abang Johari bertanding di DUN Gedong selepas berpindah dari DUN Satok yang dimenanginya selama lapan penggal berturut-turut.

Dalam perkembangan berkaitan, Abang Johari yang juga Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yakin bahawa pengundi akan menilai apa yang telah dilaksanakan sejak GPS mentadbir dan menguruskan negeri.

Katanya, tawaran baharu kepada rakyat Sarawak akan dibuat melalui manifesto yang bakal diumumkan Rabu ini yang merupakan kesinambungan kepada manisfesto PRN 2016.

"Setakat ini apa yang telah kita janjikan pada 2016 telah kita tunaikan.

"Walaupun ada pihak mengatakan manifesto ini bukan kitab suci tetapi bagi kita ia adalah satu perjanjian yang harus kita laksanakan sebaik mungkin," katanya.

Mengenai proses penamaan calon di seluruh negeri, Abang Johari, berkata beliau difahamkan ia berjalan dengan lancar.

Katanya, ia adalah bukti bahawa proses demokrasi di negeri ini adalah subur dan hidup.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua agensi yang terbabit dalam proses penamaan calon termasuk pasukan keselamatan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

"Ini termasuklah masyarakat awam yang telah sama-sama menunaikan tanggungjawab mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pada hari penamaan calon.

"Proses kempen akan bermula selepas ini dan saya harap semua yang bertanding akan mengikuti arahan daripada SPR dan juga pihak berkuasa berkaitan SOP," katanya.

Berita Harian X