Isnin, 6 Disember 2021 | 11:05am
 Gambar hiasan
Gambar hiasan

'Laksana segera Pelan Pemulihan Pendidikan atasi keciciran murid'

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) disaran melaksanakan segera Pelan Pemulihan Pendidikan dalam menangani isu keciciran pendidikan membabitkan 21,316 murid ketika ini.

Pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad, berkata KPM tidak boleh membiarkan murid terbabit terus berhenti sekolah atas faktor kemiskinan dan ketidakupayaan ibu bapa menyekolahkan mereka.

Beliau berkata, perkara itu boleh dilakukan kerana KPM sudah mempunyai data terkini murid yang keciciran pendidikan seperti dibentangkan di Parlimen sebelum ini.

Katanya, berdasarkan pemakluman rasmi KPM ini, murid terbabit dikategorikan sebagai murid keciciran pendidikan dan terkeluar daripada sistem pendidikan.

"Berdasarkan kajian pendidikan, keciciran pendidikan biasanya sangat dipengaruhi oleh faktor kemiskinan keluarga. Sebelum pandemik COVID-19 melanda negara, memang sudah wujud keciciran pendidikan, tetapi jumlahnya sangat kecil dan terkawal.

"Bagaimanapun, apabila pandemik COVID-19 berlaku sejak Mac 2020, ramai ibu bapa kehilangan pekerjaan yang menyebabkan pendapatan keluarga merosot teruk," katanya kepada BH.

Anuar berkata, dalam kajian dijalankan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) Malaysia pada Ogos 2020 bertajuk 'Families on the Edge', melaporkan perbelanjaan keluarga untuk tujuan pendidikan anak adalah paling tinggi dipotong oleh keluarga B40 di bandar.

Beliau berkata, kajian itu mendapati di Kuala Lumpur, pemotongan perbelanjaan untuk pendidikan anak dipotong sehingga 84 peratus, sekali gus menyebabkan ramai anak keluarga B40 tidak dapat meneruskan pembelajaran secara berkesan sepanjang pandemik berlaku.

Selain itu, katanya, faktor motivasi murid yang merosot dan ada murid bekerja menerima upah harian sepanjang pandemik juga menjadi penyebab kepada peningkatan jumlah keciciran pendidikan.

"Mereka hilang fokus dan motivasi untuk meneruskan persekolahan. Selain itu, faktor aspirasi ibu bapa yang rendah terhadap pendidikan anak juga boleh menyebabkan anak hilang fokus dan akhirnya berhenti sekolah.

"Apabila ibu bapa sendiri tidak lagi mengambil berat mengenai pendidikan anak mereka, keciciran pendidikan pasti akan berlaku," katanya.

Malah, Anuar berkata, pada Jun 2020, badan dunia seperti Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD), Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) serta Bank Dunia sudah mengeluarkan peringatan jika sistem pendidikan negara di dunia tidak memantau isu 'lost generation' dan 'learning lost' maka akan berlaku keciciran pendidikan yang besar di negara terbabit.

Namun, beliau berkata, biarpun sudah ada peringatan sedemikian, malangnya di Malaysia tidak ada sebarang usaha atau program khusus untuk memantau dan mengawal isu keciciran pendidikan ini.

"Apa yang sepatutnya dilakukan KPM sejak Mac 2020 ialah mewujudkan badan khas di peringkat kementerian untuk memantau dan memastikan isu keciciran pendidikan tidak meningkat.

"Antaranya dengan menyediakan bantuan kewangan pendidikan kepada anak keluarga B40, bantuan makan untuk kanak-kanak miskin dan bantuan khidmat nasihat serta kaunseling kepada ibu bapa dan murid yang dikenal pasti tidak mahu meneruskan persekolahan mereka," katanya.

Berita Harian X