Isnin, 6 Disember 2021 | 11:03am
Pengarah JBPM Kelantan, Zainal Madasin (dua dari kiri) ketika melawat kawasan tebatan banjir di Rantau Panjang, semalam. - Foto ihsan JBPM Kelantan
Pengarah JBPM Kelantan, Zainal Madasin (dua dari kiri) ketika melawat kawasan tebatan banjir di Rantau Panjang, semalam. - Foto ihsan JBPM Kelantan

Cuti 1,245 pegawai, anggota bomba Kelantan dibekukan

KOTA BHARU: Cuti pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan dibekukan bermula Disember sehingga Februari depan sebagai persiapan menghadapi banjir.

Pengarahnya, Zainal Madasin, berkata ia membabitkan keseluruhan 1,245 pegawai dan anggota bomba di negeri terbabit.

Katanya, inisiatif itu sebagai langkah berjaga-jaga jika banjir melanda memandangkan cuaca yang tidak menentu di Pantai Timur.

"Bagaimanapun kebenaran diberikan kepada anggota yang memerlukan cuti kecemasan.

"Biasanya, sekarang Kelantan sudah menerima gelombang kedua atau ketiga, namun tahun ini agak berlainan hanya berlaku banjir biasa akibat limpahan sungai di kawasan rendah. Malah pusat pemindahan sementara (PPS) juga hanya dibuka di satu lokasi sahaja di daerah Pasir Mas.

"Namun kita tidak boleh leka. Tambahan pula, kita perlu bertugas dalam norma baharu iaitu wabak COVID-19. Anggota sentiasa diingatkan untuk berhati-hati dan mengikut segala prosedur operasi standard (SOP) sepanjang menjalankan tugas," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Zainal berkata, paras Sungai Golok menunjukkan penurunan kepada tahap berjaga-jaga iaitu 7.48 meter, berbanding semalam iaitu melebihi amaran lapan meter.

"Hasil tinjauan saya ke beberapa lokasi yang dinaiki air di Rantau Panjang, semalam, mendapati air semakin surut manakala jumlah mangsa di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Gual To'Deh juga masih sama membabitkan 33 mangsa daripada enam keluarga.

"Kita mengharapkan keadaan terus baik tanpa banjir lagi namun pelbagai kemungkinan boleh berlaku.

"Saya berharap anggota terus bersabar dan komited dalam memberi khidmat terbaik kepada masyarakat," katanya.

Berita Harian X