Isnin, 6 Disember 2021 | 10:21am
- FOTO NSTP (Arkib)
- FOTO NSTP (Arkib)

Rosmah hadir prosiding rayuan

PUTRAJAYA: Datin Seri Rosmah Mansor hadir di Mahkamah Rayuan hari ini bagi mengikuti prosiding rayuan bagi membatalkan perbicaraan kes rasuahnya dan menggugurkan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Seri Gopal Sri Ram daripada mengetuai pasukan pendakwaan.

Minggu lalu, Mahkamah Rayuan melaksanakan budi bicaranya untuk tidak mengeluarkan waran tangkap Rosmah selepas beliau tidak hadir pada prosiding berkenaan.

Panel tiga hakim yang diketuai Datuk Hanipah Farikullah yang bersidang bersama-sama Datuk M Gunalan dan Datuk Hashim Hamzah memberi peluang kepada Rosmah dan memerintahkannya hadir hari ini.

Hanipah dalam penghakiman minggu lalu berkata, panel sebulat suara membuat keputusan menahan daripada mengeluarkan waran tangkap terhadap Rosmah kerana antara lain ia turut menimbangkan perayu (Rosmah) sebelum ini tidak pernah gagal hadir prosiding perbicaraan kes rasuahnya di mahkamah tinggi.

Dalam prosiding minggu lalu, peguam Datuk Jagjit Singh menjelaskan, terdapat perubahan kepada jadual perjalanan anak guamnya memandangkan perubahan peraturan kuarantin mengikut Laluan Perjalanan Vaksinasi (VTL) antara Malaysia dan Singapura.

Mahkamah Tinggi sebelum ini membenarkan Rosmah ke Singapura bagi melawat anak perempuannya Nooryana Najwa yang melahirkan anak kedua, daripada 22 Oktober lalu dan mesti pulang ke Malaysia pada atau sebelum 21 November.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan turut menetapkan syarat pasport Rosmah mesti dikembalikan pada atau sebelum 6 Disember 2021.

Rosmah merayu keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya untuk membatalkan perbicaraan kes rasuahnya membabitkan projek tenaga solar dan menggugurkan Gopal daripada mengetuai pendakwaan dalam kes terbabit.

Rosmah didakwa meminta suapan RM187.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin, melalui pembantunya ketika itu, Rizal Mansor, sebagai dorongan untuk membantu syarikat itu mendapatkan projek solar menerusi rundingan terus dengan Kementerian Pendidikan.

Beliau turut didakwa menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada Saidi antara 2016 dan 2017.

Berita Harian X