Ahad, 5 Disember 2021 | 5:28pm
Tidak banyak bendera parti politik berkibar sepanjang perjalanan dari Kuching ke Sibu kecuali bendera GPS dan PSB. - Foto MOHD ROJI KAWI
Tidak banyak bendera parti politik berkibar sepanjang perjalanan dari Kuching ke Sibu kecuali bendera GPS dan PSB. - Foto MOHD ROJI KAWI

Perang bendera masih dingin

SIBU: Sembilan parti hampir pasti sah akan menyaingi Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12 (PRN-12), 18 Disember ini.

Namun, menjelang hari penamaan calon esok, perang bendera kalangan parti itu hanya dilihat antara GPS dan Parti Sarawak Bersatu (PSB) sahaja.

GPS yang terdiri daripada empat parti komponen iaitu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) seperti diketahui akan meletakkan calon di semua 82 kawasan.

PSB selaku parti pembangkang tempatan pula akan meletakkan calon di 70 kawasan.

Tinjauan sepanjang hampir 500 kilometer melalui Lebuh Raya Pan Borneo dari Kuching ke Sibu hari ini, mendapati tidak banyak bendera parti lain kelihatan.

PKR yang akan meletakkan calon di 28 kawasan didapati belum agresif mempamer bendera serta poster mereka.

Begitu juga dengan DAP, rakan sekutu PKR dalam Pakatan Harapan (PH), yang belum mengibarkan bendera walaupun akan bertanding di 26 kawasan termasuk Simanggang yang berada di pertengahan laluan Lebuh Raya Pan Borneo.

Selain parti utama itu, lima lagi parti mengesahkan akan bertanding pada PRN-12 iaitu Parti Bumi Kenyalang (PBK), Parti Sedar Rakyat Sarawak (SEDAR), Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (ASPIRASI), Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDSB) dan PAS.

Namun, logo semua parti terbabit belum lagi kelihatan sepanjang perjalanan dari Kuching ke wilayah tengah Sarawak.

Berita Harian X