Ahad, 5 Disember 2021 | 4:33pm
 Gambar hiasan
Gambar hiasan

Pantau lereng bukit, pergerakan tanah elak kes tanah runtuh

KUALA LUMPUR: Pihak berkuasa perlu mengambil tindakan efektif termasuk mempertingkatkan pemantauan kawasan lereng bukit dan pergerakan tanah terutama pada musim tengkujuh bagi mengelak berulang kejadian tanah runtuh.

Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata insiden sebegini bukan saja mengakibatkan kerosakan, malah turut mengorbankan nyawa manusia.

"Pemantauan gerakan tanah sangat penting terutama pada musim tengkujuh. Sekiranya gelongsor tanah dapat dikesan lebih awal, ia dapat mengelakkan berlaku kemalangan jiwa.

"Kita juga perlu memastikan hutan tidak diceroboh dan diteroka. Jika tiada tindakan diambil, kejadian tanah runtuh akan terus berulang," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Khamis lalu, kejadian tanah runtuh berlaku di FT 185, Jalan Simpang Pulai-Blue Valley (Cameron Higlands) di sini yang menyebabkan laluan itu ditutup untuk semua jenis kenderaan.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun dilaporkan berkata, kejadian itu dipercayai berlaku ekoran hujan berterusan yang menyebabkan hakisan tanah.

Runtuhan tanah di Kilometer 27.10 sepanjang 100 meter itu, turut menyebabkan dua kenderaan tertimbus dengan dua maut.

Lam Thye berkata, pihak berkuasa bertanggungjawab memastikan kejadian sebegini tidak berulang di mana-mana kawasan pada masa depan.

Pada masa ini, katanya, semua pihak harus berusaha melindungi alam sekitar daripada terus dirosakkan manusia.

Berita Harian X