Ahad, 5 Disember 2021 | 4:15pm
Pakar yakin saringan ketat COVID-19 di pintu masuk negara, PCR, status lengkap vaksinasi dan pematuhan SOP cukup untuk memastikan langkah mencegah penularan varian baharu, Omincron berhasil. - BERNAMA
Pakar yakin saringan ketat COVID-19 di pintu masuk negara, PCR, status lengkap vaksinasi dan pematuhan SOP cukup untuk memastikan langkah mencegah penularan varian baharu, Omincron berhasil. - BERNAMA

Langkah sedia ada mencukupi kekang Omnicron - Pakar

KUALA LUMPUR: Langkah pencegahan COVID-19 sedia ada perlu diteruskan tanpa perlu menutup sempadan antarabangsa atau menguatkuasakan kembali sekatan pergerakan.

Pakar kesihatan dan ahli virologi yakin sistem kawalan kesihatan awam sedang dilaksanakan sekarang boleh mengawal penularan varian baharu, Omicron dengan syarat semua pihak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Profesor Kesihatan Awam Management and Science University (MSU), Prof Datuk Dr Rohaizat Yon, berkata Malaysia perlu serius menguatkuasakan tujuh langkah pencegahan.

Katanya, ia antara lain membabitkan saringan COVID-19 di pintu masuk antarabangsa, ujian reaksi rantai polimerase (PCR), kuarantin ketat serta syarat lengkap vaksinasi, yang disifatkannya cukup untuk melindungi penularan varian Omicron.

"Ketika ini kerajaan konsisten dengan mewajibkan saringan ujian PCR pada hari ketiga dan ketujuh ke atas pengembara dan warganegara yang tiba dari lapan negara berisiko tinggi.

"Ini dapat dilihat apabila Malawi menjadi negara terkini dikenakan sekatan perjalanan melalui penerbangan terus atau transit di negara ini bagi mengekang penularan Omicron di samping Afrika Selatan, Botswana, Eswatini, Lesotho, Mozambique, Namibia dan Zimbabwe.

"Dengan langkah saringan ketat COVID-19, PCR, status lengkap vaksinasi dan pematuhan semua SOP ditetapkan, cukup dalam memastikan langkah mencegah penularan varian baharu itu berhasil," katanya kepada BH, hari ini.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata tiada keperluan bagi negara menutup pintu sempadan antarabangsa termasuk menguatkuasakan perintah sekatan buat masa ini berikutan sistem kawalan kesihatan awam diyakini boleh mengawal penularan varian baharu berkenaan.

Beliau dilaporkan berkata, pihaknya masih memerlukan masa sekurang-kurangnya dua minggu untuk mendapat lebih banyak maklumat mengenai 'kekuatan' Omicron yang dikesan di Afrika Selatan serta tahap keparahannya.

Dr Rohaizat berpendapat, dengan mewajibkan ujian PCR kepada individu memasuki negara ini menerusi Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) Darat antara Malaysia-Singapura, Gelembung Pelancongan Antarabangsa bagi Projek Rintis Pulau Langkawi, ia cukup terbukti berkesan mengesan dan mengasingkan mereka yang positif COVID-19.

"Prosedur wajib itu menjadi syarat penting kepada pengembara atau warganegara yang tiba di negara ini dengan mereka diwajibkan menjalani berkali-kali ujian. Masyarakat juga perlu bersama-sama patuh kepada SOP dalam usaha mengelakkan pertambahan kes.

"Dalam pada itu, orang ramai perlu mendapatkan dos penggalak kerana hanya itu boleh melindungi komplikasi teruk COVID-19 di samping terus membudayakan norma baharu seperti penjarakan fizikal, kerap mencuci tangan, menggunakan pelitup muka dan cecair pembasmi kuman.

"Dengan kelonggaran diberikan, orang ramai perlu mengelak menghadiri perjumpaan ramai, mengadakan majlis sosial tanpa pematuhan SOP. Ini kerana meskipun liputan vaksin sudah tinggi di negara ini, selagi seluruh dunia tidak mencapai vaksinasi tinggi, tiada negara boleh dikatakan selamat," katanya.

Pakar Mikrobiologi Klinikal Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Zamberi Sekawi, pula meminta masyarakat tidak berlengah mendapatkan suntikan dos penggalak memandangkan kesan vaksin memang ada penurunan dalam tempoh enam bulan selepas dos lengkap.

"Ini bermakna daya tahan tubuh akan menjadi lemah dan suntikan penggalak bertujuan melindungi. Lihat pada persekitaran, orang ramai duduk rapat-rapat, makan di kedai dan berbual-bual seolah langsung tidak mempedulikan pematuhan SOP.

"Kita tidak mahu usaha bermati-matian kerajaan diambil mudah masyarakat yang mulai longgar mematuhi SOP yang dikhuatiri boleh mengakibatkan kes kembali melonjak, sedangkan ketika ini untuk melakukan ujian kendiri COVID-19 cukup berpatutan, di samping kelonggaran sosial, ekonomi yang diberikan," katanya.

Pakar Kesihatan Awam (Epidemiologi dan Biostatistik UPM, Prof Madya Dr Malina Osman, berkata pandangan dan keputusan Dr Noor Hisham dan Kementerian Kesihatan (KKM) adalah bertepatan dengan data dan situasi wabak di negara ini.

"Bagaimanapun, kebimbangan terhadap potensi ledakan kes akibat varian Omicron perlu diterjemahkan melalui usaha masyarakat, terutama untuk terus mematuhi SOP serta mengelakkan diri dijangkiti.

"Selain itu, pengambilan vaksin bagi individu yang belum mendapatkannya serta pengambilan dos penggalak untuk mereka yang layak perlu dilakukan segera. Ia bertujuan mengurangkan potensi penularan jangkitan COVID-19 disebabkan varian Omicron.

"Ini kerana apabila risiko rendah, penularan dapat dikurangkan. Oleh itu, kes kekal rendah dan tiada gelombang atau kluster baharu, sekali gus memberi indikator tiada keperluan Perintah Kawalan Pergerakan," katanya.

Berita Harian X