Ahad, 5 Disember 2021 | 10:30am
Gambar hiasan
Gambar hiasan

CIVac bantu pulihkan sektor binaan terjejas akibat pandemik

KUALA LUMPUR: Penularan pandemik COVID-19 di negara ini terus menjejaskan industri pembinaan pada tahun ini, tetapi kesannya lebih sederhana berbanding tahun lalu susulan pelancaran program vaksinasi yang disasarkan kepada pekerja binaan.

Ketua Eksekutif Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB), Datuk Ahmad Asri Abdul Hamid, berkata sejumlah 3,868 projek kerajaan bernilai RM30.1 bilion diberikan setakat Oktober lalu berbanding 3,653 projek bernilai RM25.9 bilion pada tempoh sama tahun lalu susulan langkah kerajaan menyokong sektor pembinaan.

Beliau berkata, pendekatan proaktif sudah diambil Kementerian Kerja Raya (KKR) menerusi CIDB untuk meningkatkan kadar vaksinasi dalam kalangan pekerja binaan.

"Program Vaksinasi Industri Pembinaan (CIVac) yang juga program vaksinasi khusus bagi pekerja binaan dilancarkan pada 1 Julai lalu dan dilaksanakan di lima negeri. Ia berakhir pada 28 September lalu dengan 100,180 pekerja mendapat vaksin lengkap.

"Bilangan dan nilai projek diberikan kerajaan pada 2021 dijangka meningkat. Kita berharap trend ini juga akan diikuti sektor swasta, yang mana lebih banyak projek swasta akan dilaksanakan.

"KKR dengan kerjasama CIDB, sudah mengambil inisiatif untuk mempercepat program vaksinasi dalam kalangan pekerjaan binaan. Peningkatan kadar vaksinasi akan memudahkan lagi pembukaan semula lebih banyak sektor ekonomi dan membolehkan keseluruhan rantaian bekalan pembinaan beroperasi," katanya.

Ahmad Asri berkata, kerajaan memastikan projek pembinaan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dan vaksinasi pekerja.

Sementara itu, Ahmad Asri berkata, industri pembinaan dianggarkan menanggung kerugian sebanyak RM42 bilion susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dari Mac 2020 hingga sekarang.

"Sepanjang tempoh PKP 3.0 yang bermula pada Jun hingga September lalu, kerugian dianggarkan berjumlah RM18 bilion. Baki RM24 bilion adalah kerugian daripada pelaksanaan PKP 1.0 pada 2020 yang menjejaskan kerja pembinaan dari Mac hingga Julai 2020.

"Kira-kira 10,000 projek terjejas akibat daripada pandemik itu," katanya.

Industri pembinaan Malaysia diunjur merekodkan pertumbuhan sebenar 9.2 peratus pada 2021, susulan penguncupan 19.4 peratus pada 2020. Ini berbanding unjuran pertumbuhan 11.2 peratus bagi tahun ini.

Semakan semula yang lebih rendah itu disebabkan terutamanya pelaksanaan sekatan pergerakan penuh di seluruh negara pada Jun 2021 yang menjejaskan aktiviti pembinaan.

Pengeluaran industri pembinaan dijangka disokong oleh pemulihan ekonomi secara berperingkat, tumpuan untuk melengkapkan projek prasarana besar dan peningkatan pelaburan dalam projek perindustrian dan tenaga.

Industri itu dijangka mencatatkan pemulihan pada 2021, mengandaikan bahawa tiada pengulangan langkah pembendungan seperti dilaksanakan pada 2020 dengan pertumbuhan disokong pelaburan dalam projek pengangkutan dan tenaga.

Sektor itu dijangka mencatatkan kadar pertumbuhan purata tahunan sebanyak 6.8 peratus antara 2022 dan 2025.

Pada September 2021, kerajaan mengumumkan rancangan mewujudkan model Perkongsian Awam-Swasta (PPP) 3.0 sebagai mekanisme khusus untuk membiayai projek infrastruktur bagi merangsang pertumbuhan ekonomi dalam rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) antara 2021 hingga 2025.

Pada Jun 2021, kerajaan melancarkan rancangan peralihan tenaga sehingga 2040, bertujuan meningkatkan bahagian tenaga boleh diperbaharui dalam jumlah campuran tenaga daripada dua peratus pada 2019 kepada 31 peratus menjelang 2025 dan 40 peratus menjelang 2035.

Sepanjang tempoh unjuran itu, pertumbuhan industri juga akan disokong pemulihan keadaan ekonomi dan pelaburan dalam projek infrastruktur kediaman, perindustrian serta air.

Sebagai sebahagian daripada RMK-12, kerajaan mengumumkan matlamatnya untuk membangunkan 120 bandar bagi mencapai status bandar mampan menjelang 2025 dengan menyediakan sokongan tambahan kepada projek sektor swasta yang melaksanakan program pembangunan strategik.

Kerajaan juga bercadang membina 500,000 rumah mampu milik menjelang 2025 sebagai sebahagian daripada RMK-12.

Pada September 2021, kerajaan Persekutuan meluluskan projek infrastruktur air Kelantan bernilai RM25.8 bilion.

Ahmad Asri berkata, industri pembinaan Malaysia dijangka mencapai semula pertumbuhan positifnya susulan penerusan dan pecutan projek infrastruktur utama seperti diumumkan dalam RMK-12.

"Projek infrastruktur seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Lebuh Raya Pantai Timur 3 (LPT3), Laluan Transit Aliran Berkapasiti Tinggi 2 (MRT2), Landasan Berkembar Lembah Klang 2 (KVDT2), Sistem Transit Rapid Johor-Singapura (RTS), Lebuh Raya Pan Borneo di Sabah dan Sarawak serta projek hidroelektrik Baleh juga dijangka memacu pertumbuhan.

"Bajet 2022 memperuntukkan RM75.6 bilion untuk perbelanjaan pembangunan iaitu 9.6 peratus lebih tinggi daripada Bajet 2021. Daripada jumlah ini, kira-kira RM25.3 bilion diperuntukkan untuk kerja pembinaan," katanya.– BERNAMA

Berita Harian X