Sabtu, 4 Disember 2021 | 9:24pm
Tuan Ibrahim menyerahkan watikah pelantikan kepada calon PAS bagi PRN Sarawak DUN Beting Maro, Mohammad Arifiriazul Paijo di Kuching, hari ini. - NSTP/Aizuddin Saad
Tuan Ibrahim menyerahkan watikah pelantikan kepada calon PAS bagi PRN Sarawak DUN Beting Maro, Mohammad Arifiriazul Paijo di Kuching, hari ini. - NSTP/Aizuddin Saad

PAS hanya bertanding satu kerusi di Sarawak

KUCHING: PAS hanya bertanding satu kerusi sahaja pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak iaitu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Beting Maro dengan mencalonkan seorang usahawan, Mohammad Arifiriazul Paijo.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata keputusan itu dibuat kerana mengambil kira keadaan semasa pandemik COVID-19 yang mengehadkan kempen pilihan raya.

Katanya, turut mendorong keputusan itu ialah faktor hubungan kerjasama di peringkat kerajaan pusat yang membabitkan pelbagai parti termasuk Gabungan Parti Sarawak (GPS).

"Situasi COVID-19 masih menjadi ancaman besar dan situasi politik tanah air juga memerlukan suasana harmoni dan tenang bagi memberi fokus kepada usaha menangani COVID-19 dan pemulihan ekonomi.

"Kita ambil kira hubungan peringkat pusat yang libatkan pelbagai parti termasuk GPS, maka PAS pusat memutuskan untuk meletakkan satu calon iaitu di DUN Beting Maro," katanya dalam sidang akhbar, di sini malam ini.

PAS mula bertanding di DUN Beting Maro pada PRN Sarawak 2001 dan mencatatkan peningkatan undi dalam setiap pilihan raya.

Pada PRN 2016, parti itu kalah dengan majoriti 1,707 undi selepas meraih 3,051 undi.

Dalam perkembangan berkaitan, Tuan Ibrahim, berkata tindakan PAS yang tetap mengambil bahagian dalam PRN Sarawak diyakini tidak akan mengundang masalah dalam aspek kerjasama dengan GPS di peringkat Pusat.

Katanya, sebelum ini situasi yang sama pernah berlaku pada PRN Melaka, baru-baru ini dan ia tidak menyebabkan kerjasama itu terjejas.

"Saya fikir masing-masing saling hormat menghormati, walaupun akan melawan GPS, tiada masalah dari segi kerjasama di peringkat Pusat.

"Kita tak maklumkan (terlebih dahulu) kepada parti lain, kita hormati setiap parti dan PAS buat keputusan dalam konteks parti (sendiri)," katanya.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim, berkata penyertaan PAS dalam PRN kali ini tidak boleh disamakan dengan PRN 2016 di mana parti itu bertanding di 11 kerusi kerana keadaan semasa adalah berbeza.

"Kita dapat sokongan agak baik sebelum ini tapi kali ini kita nak fokus, kerana jentera kita tak libatkan jentera luar.

"Kalau ikut prestasi terdahulu, kita ada empat ke lima kerusi yang berpotensi tetapi kita pilih mana yang terbaik dan kita harap kita berjaya," katanya.

Berita Harian X