Sabtu, 4 Disember 2021 | 3:50pm

Tiada kontak rapat baharu kes indeks Omicron - KJ

SUBANG: Siasatan terhadap kes indeks Omicron dalam pesawat yang sama dan sebuah premis di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mendapati tiada kes baharu kontak rapat.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, menjelaskan pengesanan kontak rapat kes pertama Varian Membimbangkan (VOC) itu dibuat menerusi kerjasama dengan syarikat penerbangan.

Beliau berkata, hanya dua penumpang yang juga warga asing dalam penerbangan sama dikategorikan sebagai kontak rapat, namun ujian saringan ketika ketibaan dan ulangan, selepas menjalani kuarantin adalah negatif.

"Penumpang yang berada di empat barisan hadapan dan empat barisan belakang, kiri dan kanan, hanya dua orang saja boleh dikategorikan sebagai kontak rapat, kedua-dua mereka ialah warga asing.

"Hasil ujian saringan terhadap mereka adalah negatif COVID-19, iaitu semasa ujian ketibaan dan ujian ulangan, sebelum diberi pelepasan daripada kuarantin.

"Setakat ini tiada lagi kes kontak rapat baharu dalam penerbangan sama dengan kes indeks, namun pengesanan akan terus dijalankan," katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Luka Global Asia Ketiga 2021, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Hospital Kuala Lumpur, Dr Rohana Johan dan Ketua Pegawai Eksekutif Sunway Medical Centre Velocity Kuala Lumpur, Derrick Chan.

Menerusi semakan menggunakan rekod MySejahtera, Khairy berkata kes indeks Omicron berkunjung ke Eraman, iaitu tempat makan di KLIA apabila tiba di Malaysia pada 19 November lalu.

Bagaimanapun, katanya, mereka yang berada di premis terbabit pada waktu sama dengan kes indeks tidak dikategorikan sebagai kontak rapat.

"Hal ini kerana ketika itu, tidak ramai orang yang berada di foodcourt Eraman dan memudahkan aspek kawalan prosedur operasi standard (SOP).

"Pejabat Kesihatan KLIA akan terus jalankan siasatan untuk kita pastikan tiada kontak rapat yang bersama dengan kes indeks.

"Kita akan kategorikan individu berkaitan di premis berkenaan sebagai kontak kasual jika ada pertindihan waktu kunjungan yang lebih lama, tetapi setakat ini tiada kontak lain yang dikesan.

"Pengesanan kontak rapat meliputi spektrum yang meluas, termasuk pesawat dan premis berkaitan, dengan sela masa 30 minit sebelum kes indeks tiba di lokasi dan 30 minit selepas kes indeks sampai," katanya.

Susulan kes pertama Omicron di Malaysia, Khairy berkata Kementerian Kesihatan (KKM) turut sedang menjalankan kajian terhadap kes indeks, memandangkan nilai kitaran ambang (CT) yang diperoleh daripada ujian diagnostik adalah tinggi, iaitu lebih 26.68.

Ujian diagnostik menggunakan Polimerase-Transkripsi Terbalik (RT-PCR) bagi mengesan kehadiran virus COVID-19 dalam tubuh badan seseorang lazimnya membabitkan kira-kira 40 kitaran.

Sekiranya nilai CT yang diperoleh dalam ujian berkenaan rendah, ia bermaksud kesan virus dalam badan adalah tinggi dan jangkitan COVID-19 berada di peringkat awal.

Sehubungan itu, Khairy berkata, KKM ingin memahami apa yang berlaku di sebalik kes pelajar perempuan berusia 19 tahun berkenaan, sebelum dikategorikan sebagai kes indeks Omicron di Malaysia.

"Kita buat kajian terhadap kes indeks ini, sebab nilai CT tinggi semasa ujian diagnostik," katanya.

Berita Harian X