Sabtu, 4 Disember 2021 | 2:07pm

Jangkitan COVID-19 di sekolah terkawal

KUBANG PASU: Penularan kes COVID-19 membabitkan warga sekolah selepas pembukaan sesi persekolahan secara bersemuka dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa Empat di negara ini masih terkawal.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, ia berdasarkan jumlah kes jangkitan COVID-19 secara relatifnya masih rendah jika dibandingkan dengan keseluruhan 10,000 sekolah yang ada di seluruh negara.

"Jumlah kluster institusi pendidikan di seluruh negara kini membabitkan 21 sekolah. Seramai 287 pelajar sekolah rendah dan menengah disahkan positif manakala 179 lagi murid tadika swasta yang berdaftar di bawah Kementerian Pendidikan (KPM).

"Melihat kepada konteks lebih luas yang mana kita memiliki lebih 10,000 sekolah, tidak termasuk sekolah berasrama penuh, kolej vokasional, matrikulasi dan sebagainya, boleh dikatakan keadaan sekarang masih berada dalam keadaan terkawal," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Pendidikan Digital-AEON Sayap Bagimu di Institut Pendidikan Guru, Kampus Darul Aman, Bandar Darul Aman, hari ini.

Yang turut hadir, Presiden Yayasan AEON Malaysia, Datin Noryahwati Mohamad Noh serta Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Yayasan Didik Negara, Hardian Hadir.

Sebelum ini, Sekolah Seri Puteri di Cyberjaya diarahkan tutup sementara berikutan 135 kes baharu positif COVID-19 yang membabitkan warga sekolah itu.

Media juga melaporkan seramai 24 pelajar lelaki Maktab Mahmud Sik disahkan positif COVID-19 membabitkan kluster pendidikan iaitu Kluster Dah Pelangi selepas menunjukkan gejala sejak 28 November lalu.

Dalam pada itu, Radzi turut memberi amaran akan mengambil tindakan tegas kepada pengurusan sekolah yang menyembunyikan kes positif COVID-19 membabitkan guru dan murid.

Beliau berkata, setakat ini tiada sekolah dikesan berbuat demikian berikutan setiap sekolah perlu melaporkan segera kes yang berlaku.

"Kalau kita dapati (sembunyikan kes COVID-19) tindakan tegas akan diambil. Di sekolah kita ada sistem pelaporan, kita amat ketat (mengenai perkara ini), maka kita akan tahu apa akan dilakukan.

Ketika ditanya, adakah berlaku pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) di asrama sekolah sehingga berlaku penularan COVID-19 dalam kalangan penghuni, beliau berkata Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) sedang menyiasat secara terperinci termasuk mengesan punca jangkitan.

Radzi turut menasihatkan semua pihak tidak mengambil ringan soal pematuhan SOP bagi memastikan sistem pembelajaran secara bersemuka ini dapat diteruskan.

Beliau bersyukur apabila hampir keseluruhan murid yang dijangkiti COVID-19, lengkap divaksin dan berada pada kategori satu yang tidak bergejala serta kategori dua bergejala ringan.

Radzi (tengah) bersama Noryahwati (tiga kiri) bermesra dengan sebahagian murid penerima tablet digital pada Majlis Penyerahan Sumbangan Pendidikan Digital AEON Sayap Bagimu di IPG Kampus Darul Aman, Jitra. - NSTP/Luqman Hakim Zubir
Radzi (tengah) bersama Noryahwati (tiga kiri) bermesra dengan sebahagian murid penerima tablet digital pada Majlis Penyerahan Sumbangan Pendidikan Digital AEON Sayap Bagimu di IPG Kampus Darul Aman, Jitra. - NSTP/Luqman Hakim Zubir
Berita Harian X