Sabtu, 4 Disember 2021 | 11:11am
Datuk Seri Dr Sim Kui Hian
Datuk Seri Dr Sim Kui Hian

SUPP akur dua kerusi tradisi ditandingi komponen GPS

KUCHING: Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Datuk Seri Dr Sim Kui Hian, mengakui terkejut dengan pengumuman dua kerusi tradisi parti itu bakal ditandingi parti komponen Gabungan Parti Sarawak (GPS) lain pada Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12 (PRN-12), 18 Disember ini.

Meskipun, pada mulanya sedikit kecewa dengan keputusan itu, Dr Sim berkata, pihaknya menerimanya dengan hati terbuka bersandarkan semangat setiakawan GPS.

Beliau berkata, tumpuan kini harus difokuskan kepada 18 kerusi yang diperuntukkan kepada SUPP dan mereka akan berusaha sebaik mungkin untuk meraih kemenangan di semua kerusi terbabit.

"Memang mengejutkan apa yang berlaku dalam tempoh 24 jam semalam kerana sebelum itu memang kami menjangka akan terus bertanding di 20 kerusi tradisi.

"Namun itu keputusan pucuk pimpinan GPS dan kami menerimanya dan bersedia untuk bergerak bersama demi memastikan kemenangan pada PRN-12," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di pejabat SUPP Batu Kawa, di Bandar Baru Batu Kawa (MJC), hari ini.

Dua kerusi tradisi SUPP terbabit ialah Dudong yang bakal ditandingi Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP), Datuk Seri Tiong King Sing dan Mambong yang akan ditandingi Datuk Dr Jerip Susil.

Pada pilihan raya negeri 2016, Barisan Nasional (BN) meletakkan calon langsung di kerusi Dudong dan Mambong yang menjadi rebutan SUPP dan parti serpihannya ketika itu, Parti Rakyat Bersatu (UPP).

Bagaimanapun, pemenang kerusi Dudong pada 2016 itu, Datuk Tiong Thai King, kemudiannya menyertai parti pembangkang tempatan, Parti Sarawak Bersatu (PSB).

PSB ditubuhkan bekas Presiden UPP yang juga bekas pemimpin kanan SUPP sebelumnya, Datuk Seri Wong Soon Koh.

Bagi kerusi Mambong pula, penyandangnya Dr Jerip menyertai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) selepas keluar dari PSB pada Oktober 2019.

Ketika ditanya sama ada beliau akan turun padang ke Dudong dan Mambong bagi membantu dua calon GPS, Dr Sim berkata, beliau akan melakukannya jika ada kesempatan.

"Tetapi kita harus mengutamakan 'rumah sendiri' (kawasan sendiri) dahulu sebelum ke rumah orang lain.

"Saya akan mempertahankan kerusi Batu Kawa dan harus memberi tumpuan sepenuhnya di kawasan yang saya sendiri tandingi," katanya yang bakal berdepan cabaran Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii Lee Wuen yang mewakili DAP.

Berita Harian X