Jumaat, 3 Disember 2021 | 11:12pm
Foto ilustrasi di London menunjukkan empat picagari vaksin dan skrin memaparkan perkataan ‘Omicron’, varian baharu COVID-19. - Foto AFP
Foto ilustrasi di London menunjukkan empat picagari vaksin dan skrin memaparkan perkataan ‘Omicron’, varian baharu COVID-19. - Foto AFP

8 sampel kontak rapat Omicron negatif

PUTRAJAYA: Semua lapan sampel termasuk kontak rapat bagi kes pertama varian membimbangkan (VOC) Omicron di negara ini dilaporkan negatif COVID-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata lapan kes indeks itu diminta mengadakan ujian Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) ulangan selepas kes indeks berkenaan disahkan mempunyai Omicron.

"Terkini dari Perak, semua lapan sampel ujian RT PCR hari ini adalah negatif. Ia termasuklah kes indeks Omicron pertama dalam negara serta tujuh kontak rapat yang membabitkan pemandu, pekerja universiti, tiga rakan universiti (dua warganegara Ghana dan seorang India) serta dua rakan sebiliknya. Alhamdulillah," katanya dalam ciapan Twitter.

Terdahulu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dalam sidang media khasnya memaklumkan Malaysia merekodkan kes pertama VOC Omicron, membabitkan seorang pelajar yang mempunyai rekod perjalanan dari Afrika Selatan.

Khairy berkata, kes berkenaan ialah seorang pelajar sebuah universiti swasta di Ipoh berusia 19 tahun itu, tiba dari Afrika Selatan melalui Singapura pada 19 November lalu dan menjalani ujian Rt-PCR setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

"Susulan ujian itu, pelajar terbabit diperintah menjalani pengawasan dan pemerhatian mengikut Seksyen 15, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342) dan menjalani kuarantin wajib di penginapan yang disediakan oleh pihak universiti di Ipoh.

"Perjalanan kes dari KLIA ke Ipoh pula menggunakan bas yang disediakan khas oleh pihak universiti. Pelajar terbabit menjalani kuarantin seorang diri di penginapan itu dan berdasarkan siasatan yang dijalankan, beliau patuh kepada perintah yang dikeluarkan," katanya.

Berita Harian X