Jumaat, 3 Disember 2021 | 8:18pm
Kerja pembersihan runtuhan tanah oleh JKR memasuki hari kedua di Seksyen 27 hingga Seksyen 30, selepas Pos Raya di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands hari ini. Setakat ini, dua mangsa meninggal dunia selepas kenderaan mereka tertimbus dalam tanah runtuh di laluan FT 185, KM27.10 Jalan Simpang Pulai-Blue Valley semalam. - Foto BERNAMA
Kerja pembersihan runtuhan tanah oleh JKR memasuki hari kedua di Seksyen 27 hingga Seksyen 30, selepas Pos Raya di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands hari ini. Setakat ini, dua mangsa meninggal dunia selepas kenderaan mereka tertimbus dalam tanah runtuh di laluan FT 185, KM27.10 Jalan Simpang Pulai-Blue Valley semalam. - Foto BERNAMA

Pembersihan secara berhati-hati, elak runtuhan merebak

KUALA LUMPUR: Jabatan Kerja Raya (JKR) sedang melaksanakan kerja pembersihan dengan berhati-hati di Seksyen 27 FT 185 Kilometer 27.10 Jalan Simpang Pulai-Blue Valley ke Cameron Highlands yang runtuh sehingga menyebabkan dua maut, semalam.

Ketua Pengarah Kerja Raya, Datuk Ir Mohamad Zulkefly Sulaiman, berkata pihaknya mengambil langkah berjaga-jaga dalam melaksanakan kerja pembersihan bagi mengelak runtuhan daripada merebak.

"Laluan berkenaan ditutup sementara selama 10 hari bagi kerja pembersihan serta melaksanakan pemantauan dan pengguna jalan raya sudah dimaklumkan supaya menggunakan laluan alternatif yang disarankan.

"Dalam kerja pembersihan, petugas akan mengeluarkan komponen tanah yang longgar serta melakukan pemantauan keadaan daripada semasa ke semasa," katanya kepada BH, hari ini.

Dalam pada itu, katanya JKR akan melakukan pemantauan taburan hujan dan memantau pergerakan tanah menggunakan peralatan amaran awal (EWS) yang paling hampir iaitu di Seksyen 44 FT 185 di laluan berkenaan.

JKR akan melaksanakan pembaikan kekal menggunakan kaedah 'gunite' dan 'soil nailing' setinggi 50 meter dan 150 meter panjang di kawasan runtuhan dengan anggaran awal kos RM16 juta.

"Kita turut merangka tindakan segera untuk mencegah kejadian sama berulang di laluan di kawasan tinggi lain seperti Genting Highlands, Cameron Highlands, Bukit Fraser dan sebagainya.

"Rondaan akan dipertingkatkan di lokasi-lokasi terbabit dan membuat semakan di jalan raya berhampiran kawasan bercerun bahaya. Pemeriksaan juga akan dibuat lebih terperinci di lokasi kritikal berdasarkan peta bahaya cerun yang dihasilkan," katanya.

Selain itu, JKR akan menambah papan tanda peringatan kawasan bercerun dan pengurusan trafik di lokasi berbahaya serta menyediakan jalan lencongan atau menutup jalan jika didapati terdapat tanda-tanda kegagalan cerun.

Pengguna jalan raya juga akan dimaklumkan mengenai laluan alternatif serta hebahan melalui media sosial.

"Kementerian Kerja Raya (KKR) dan JKR juga dalam proses melantik kontraktor penyelenggaraan cerun jangka panjang untuk melaksanakan kerja-kerja pembaikan, pencegahan dan penyenggaraan rutin cerun-cerun yang dikenal pasti berisiko tinggi.

"Selain itu, meningkatkan perkongsian dan integrasi maklumat serta data antara JKR dan jabatan teknikal yang lain untuk menghasilkan 'peta bahaya yang lebih komprehensif'," katanya.

Integrasi maklumat serta data ini boleh diguna pakai untuk langkah dan kerja pencegahan jangka panjang.

Mengenai stesen tolok hujan sedia ada, katanya pada masa ini terdapat 35 stesen di Semenanjung tindakan akan diambil untuk menambah bilangan stesen tolok hujan dan juga peralatan EWS.

"Ini perlu bagi memantau pergerakan permukaan cerun dan bawah tanah bagi membantu memberi amaran awal secara nyata kemungkinan berlakunya tanah runtuh terutamanya di lokasi cerun yang kritikal," katanya.

Berita Harian X