Jumaat, 3 Disember 2021 | 8:04pm
Ketua Menteri, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, mengadakan sidang media selepas mengumumkan calon GPS dalam PRN ke-12 Sarawak di Ibu Pejabat Parti PBB, Kuching. -NSTP/NADIM BOKHARI
Ketua Menteri, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, mengadakan sidang media selepas mengumumkan calon GPS dalam PRN ke-12 Sarawak di Ibu Pejabat Parti PBB, Kuching. -NSTP/NADIM BOKHARI

'Guna logo sama bukti GPS sepakat'

KUCHING: Keputusan parti komponen Gabungan Parti Sarawak (GPS) menggunakan logo gabungan pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 (PRN-12) membuktikan kesepakatan keempat-empat parti.

Setiausaha Agung GPS, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata semua 82 calon yang dipilih akan dikenali sebagai calon GPS dan bukan parti masing-masing iaitu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).

"Kita gunakan 'common logo' (logo sama) pada PRN-12 dan ini menunjukkan kami sehaluan dalam gabungan, memiliki manifesto yang sama dan bertanding sebagai sebuah gabungan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada BERNAMA selepas menghadiri Majlis Penyerahan Watikah Kepada Calon GPS di ibu pejabat PBB di Petrajaya dekat sini, hari ini.

Keempat-empat parti PBB, PRS, SUPP dan PDP (SPDP yang dijenamakan semula sebagai Parti Demokratik Progresif pada November 2017) keluar daripada Barisan Nasional pada 2018, selepas Pilihan Raya Umum ke-14.

Empat parti berkenaan membentuk GPS pada 12 Jun 2018 dan menerajui kerajaan Sarawak.

Alexander yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, berkata demikian ketika diminta mengulas beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang secara tradisinya milik SUPP dan PDP kini ditandingi calon PBB.

Antara kerusi itu ialah DUN Pakan yang secara tradisinya milik PDP akan terus dipertahankan penyandangnya Tan Sri William Mawan Ikom, yang pada pilihan raya negeri 2016 bertanding atas tiket calon langsung BN.

Selepas memenangi kerusi Pakan dalam pilihan raya itu, Mawan yang juga bekas Presiden SPDP, kemudiannya menyertai PBB.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari penamaan calon pada 6 Disember manakala pengundian pada 18 Disember dan undi awal 14 Disember. - BERNAMA

Berita Harian X