Jumaat, 3 Disember 2021 | 7:13pm

Tiada mangsa lain ditemui setakat ini

IPOH: Pasukan mencari dan menyelamat tidak menemui kenderaan atau mangsa lain yang tertimbus dalam runtuhan tanah di Seksyen 27 FT 185 Kilometer 27.10 Jalan Simpang Pulai-Blue Valley hari ini.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Bomba Malaysia (JBPM) Perak, Muhamad Shahrizal Aris berkata, pengesanan kali pertama dijalankan unit anjing pengesan (K9) setakat ini tidak menemui sebarang petunjuk terdapat mangsa lain.

"Pengesanan pertama yang dibuat oleh unit K9 pada jam 1.30 petang adalah negatif," katanya kepada media di lokasi kejadian, hari ini.

Pengesanan kali kedua unit K9 dilakukan kira-kira jam 5.30 petang tadi dan mendapati tiada mangsa lain setakat ini,

Katanya, kekuatan keseluruhan anggota yang menjalankan operasi di lokasi setakat ini adalah seramai 94 orang termasuk polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Meteorologi dan Geosains (JMG) dan Jabatan Kerja Raya (JKR).

Terdahulu, media melaporkan hanya dua kenderaan disahkan terbabit dalam insiden tanah runtuh di Seksyen 27, KM39 FT 185 Jalan Simpang Pulai-Blue Valley (Cameron Highlands) yang dilaporkan berlaku tengah hari semalam.

Pasukan mencari dan menyelamat bersiap sedia melakukan operasi SAR. FOTO NSTPBALQIS JAZIMAH ZAHARI
Pasukan mencari dan menyelamat bersiap sedia melakukan operasi SAR. FOTO NSTPBALQIS JAZIMAH ZAHARI
Berita Harian X