KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) menampilkan 24 muka baharu berusia antara 30 hingga 40 tahun pada Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12 (PRN-12) yang akan diadakan 18 Disember ini.
Ketua Menteri, Tan Sri Abang Johari Abang Openg, berkata semua calon muka baharu terbabit akan didedahkan dengan 'politik ala Sarawak' bagi melengkapkan mereka sebagai pemimpin masa depan.
"Politik ala Sarawak ini memperjuangkan masyarakat berbilang kaum, agama, budaya dan keturunan. Lanskap politik Sarawak ini hanya orang Sarawak yang tahu, sebab itu kita memilih tema 'Sarawak First' dan ia akan didedahkan kepada calon-calon muka baru ini," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Watikah kepada calon GPS di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), hari ini.
Semua muka baharu datang daripada latar belakang dan profesion berbeza termasuk Azizul Annuar Adenan, 30, anak bongsu bekas Ketua Menteri, Allahyarham Tan Sri Adenan Satem yang akan bertanding di Tanjung Datu, mengisi kekosongan ditinggalkan ibunya, Puan Sri Jamilah Anu yang mengundur diri.
Abang Johari yang juga Pengerusi GPS turut mengesahkan beliau tidak akan mempertahankan kerusi Satok yang disandangnya sejak sembilan penggal lalu dan bertukar ke kawasan Gedong. Tempat beliau di Satok akan digantikan oleh Ahli Majlis Tertinggi PBB, Datuk Ibrahim Baki.
Abang Johari turut mengumumkan Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP) yang juga Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing, akan bertanding di Dudong.
Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Datuk Seri Dr Sim Kui Hian pula akan mempertahankan kerusi Batu Kawa.
Calon muka baharu, Nicholas Kudi Jantai Maseng pula dinamakan sebagai calon untuk Baleh, kerusi yang kosong berikutan kematian penyandangnya Tan Sri James Masing Jemut, yang juga presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS).
Nicholas Kudi adalah anak saudara mendiang Masing.
Mengenai manifesto GPS, Abang Johari berkata, ia akan diumumkan pada 8 Disember ini.
Sementara itu senarai rasmi calon GPS masih belum dikeluarkan dan akan diedarkan kepada media dalam masa terdekat.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan tarikh penamaan calon bagi PRN Sarawak pada 6 Disember pengundian awal pada 14 Disember dan hari pengundian pada 18 Disember untuk memilih calon bagi menduduki 82 kerusi DUN.