Jumaat, 3 Disember 2021 | 5:37pm
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyampaikan ucapan pada perasmian Sambutan Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Keluarga Malaysia Peringkat Kebangsaan Tahun 2021 (HPPK2021) di Presint 2 hari ini. - Foto BERNAMA

RM48.52 juta bantu penjaja, peniaga kecil

PUTRAJAYA: Kerajaan mengumumkan peruntukan sebanyak RM48.52 juta bagi pelaksanaan Program Pembiayaan Mikro untuk Penjaja dan Peniaga Kecil bagi menambah baik dan membangunkan semula perniagaan golongan berkenaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata melalui inisiatif itu, Keluarga Malaysia dalam kalangan penjaja dan peniaga kecil boleh memohon pembiayaan secara syariah dengan kadar keuntungan kosong peratus daripada Bank Rakyat, agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC).

"Pembiayaan yang dimohon boleh digunakan bagi tujuan pemulihan perniagaan seperti modal pusingan, pembelian peralatan atau perkakasan, bayaran gaji, bayaran sewa dan bil utiliti.

"Tiada sebarang kadar keuntungan dikenakan ke atas penerima biaya, sebaliknya hanya kos pengurusan akan dikenakan sebanyak satu peratus atas kutipan yang diterima," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Keluarga Malaysia 2021 (HPPK 2021) dan pelancaran Program Transformasi Pasar Malam, di sini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyantuni peniaga madu lebah selepas merasmikan Sambutan Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Keluarga Malaysia Peringkat Kebangsaan Tahun 2021 (HPPK2021) dan Pelancaran Program Transformasi Pasar malam Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di Presint 2 hari ini. - Foto BERNAMA

Pada masa sama, Perdana Menteri berkata, nilai pembiayaan adalah antara RM10,000 hingga RM50,000 dengan tempoh bayaran balik hingga lima tahun.

"Jadi, saya menyeru kepada Keluarga Malaysia untuk mengambil peluang yang ditawarkan ini bagi kelangsungan perniagaan masing-masing," katanya.

Pada majlis itu juga, Perdana Menteri turut bersetuju meluluskan peruntukan sebanyak RM100,000 kepada Persatuan Gabungan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia (GPPPKMM).

Berita Harian X