Jumaat, 3 Disember 2021 | 4:54pm
Muhammad Zaidi (kiri) ketika menerima kunjungan Abdul Yunus. - NSTP/SHAIFUL SHAHRIN AHMAD PAUZI
Muhammad Zaidi (kiri) ketika menerima kunjungan Abdul Yunus. - NSTP/SHAIFUL SHAHRIN AHMAD PAUZI

'Arwah teruja mahu rai perkahwinan saya'

PARIT BUNTAR: "Beberapa minggu lalu, arwah kelihatan bersemangat dan teruja, malah berjanji untuk membawa saya menggunakan keretanya pada majlis perkahwinan saya, 19 Disember ini.

"Selain itu, arwah juga telah membuat tempahan ikan siakap dan udang untuk majlis makan beradab kami nanti," kata Muhammad Zaidi Hamdi, 26.

Beliau adalah adik kepada Muhamad Hafiz Hamdi, 31, yang maut dalam kejadian tanah runtuh di Seksyen 27, Kilometer (KM) 39 FT 185 Jalan Simpang Pulai-Blue Valley, Cameron Highlands, semalam.

Muhammad Zaidi yang juga anak keempat daripada lima beradik berkata, mereka sekeluarga terkilan apabila hajat arwah untuk bersama meraikan majlis perkahwinannya itu tidak kesampaian.

"Arwah memang kelihatan teruja untuk meraikan perkahwinan saya nanti. Malah pada hari kejadian, arwah membawa sebilangan besar kad jemputan perkahwinan saya untuk diedarkan kepada kawan-kawannya.

"Tidak dapat dipastikan sama ada kad berkenaan sempat diedarkan atau tidak, namun kami sekeluarga amat sedih dengan kehilangan arwah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kurau, Datuk Abdul Yunus Jamhari yang menyampaikan bantuan Skim Tabarro kepada keluarga mangsa, di sini, hari ini.

Muhammad Zaidi berkata, Allahyarham yang juga anak ketiga, adalah seorang yang pendiam dan taat kepada keluarga.

Sementara itu ibu mangsa, Hamiah Mukri, 61, berkata sehari sebelum kejadian, selepas menghadiri kenduri di rumah seorang rakan, arwah sempat pulang ke rumah dan memaklumkan beliau tidak sempat mengeluarkan duit untuk diberi kepada ibunya bagi menguruskan perkahwinan adik.

"Hari itu, arwah memberitahu akan memulakan perjalanan ke Cameron Highlands pada pagi Khamis (semalam), selain meminta maaf kepada saya sebab tidak sempat hendak memberi duit untuk majlis perkahwinan adiknya nanti.

"Isteri arwah, Nor Shahida Saidin, 31, memberitahu bahawa arwah ada menyatakan keinginan untuk berhenti kerja dan mungkin itu 'trip' terakhir dia bekerja sebagai pemandu lori sayur dengan majikannya.

"Sungguh tidak disangka itulah hari terakhir kami berjumpa. Namun, kami sekeluarga reda dengan pemergian arwah," katanya.

Jenazah Muhamad Hafiz dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Parit Tanjung Piandang selepas solat asar, hari ini.

Arwah meninggalkan seorang isteri dan dua anak, iaitu Nurhannan Fitry Sha, 2, dan Muhammad Hafiy Fahri berusia tujuh bulan.

Berita Harian X