Jumaat, 3 Disember 2021 | 4:08pm
Orang ramai meredah hujan ketika tiba di PPV Dewan Atabara Indera Mahkota, Kuantan, bagi mengambil dos penggalak. - NSTP/FARIZUL HAFIZ AWANG
Orang ramai meredah hujan ketika tiba di PPV Dewan Atabara Indera Mahkota, Kuantan, bagi mengambil dos penggalak. - NSTP/FARIZUL HAFIZ AWANG

'Patuh SOP, ambil dos penggalak'

KUALA LUMPUR: Langkah paling ampuh memerangi kemunculan varian Omicron ialah pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) dan meningkatkan jumlah penerima dos penggalak.

Pakar Virologi Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr Yahya Mat Arip, berkata penutupan sempadan negara tidak mungkin dapat menghalang sepenuhnya kemasukan varian baharu itu.

Katanya, pengawasan genom perlu ditingkatkan, di samping memberi penekanan kepada orang ramai mempraktikkan TRIIS iaitu ujian, lapor, mengasingkan, memaklumkan dan mencari.

"Untuk menutup terus sempadan negara mungkin tidak sesuai tetapi sekatan perjalanan dari negara benua Afrika yang mempunyai kes Omicron atau individu dengan sejarah perjalanan dari tempat itu adalah wajar.

"Kita tiada pilihan dan perlu berhadapan dengan Omicron. Pematuhan terhadap SOP pencegahan adalah sangat penting di samping liputan vaksin yang tinggi serta memberi perhatian kepada pengambilan dos penggalak.

"Apa yang membimbangkan, pematuhan terhadap SOP kelihatan semakin longgar," katanya kepada BH, hari ini.

Beliau mengulas mengenai kewajaran sempadan negara ditutup bagi mengekang Omicron, terutama selepas Malaysia merekodkan kes pertama varian itu membabitkan seorang pelajar yang mempunyai rekod perjalanan dari Afrika Selatan.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin pada sidang media hari ini memaklumkan, individu itu diarah menjalani kuarantin diri manakala saringan kontak rapat juga sudah dijalankan dan keputusannya negatif.

Mengenai kebimbangan orang ramai mendapatkan dos penggalak COVID-19, Yahya berkata, ia berpunca daripada pengaruh fakta tidak tepat atau palsu.

Sebagai perbandingan, katanya, vaksin flu perlu diambil setiap tahun untuk memastikan perlindungan terbaik dan ia diterima oleh kebanyakan masyarakat.

"Bagaimanapun, dos penggalak vaksin COVID-19 tidak diterima. Mengapa ada perbezaan layanan apabila kedua-dua vaksin ini bertujuan memberi perlindungan kepada penyakit jangkitan virus," katanya.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Halimatus Sakdiah Minhat, berkata penutupan sempadan negara luar kebanyakannya berlaku sebelum penularan Omicron.

Katanya, kadar vaksinasi di kebanyakan negara itu masih rendah, ditambah dengan peratusan golongan anti-vaksin yang jauh lebih tinggi berbanding keadaan di Malaysia.

"Bagaimanapun, selepas tiga hingga enam bulan divaksin, tahap imuniti menurun dengan mendadak, maka masyarakat perlu tahu mengenai kepentingan mengambil dos penggalak.

"Jika tidak diambil, risiko mendapat COVID-19 hampir sama dengan mereka yang tidak pernah divaksin, justeru peratusan mengambil dos penggalak perlu dipertingkatkan

"Di Malaysia, apa yang lebih penting ialah memperketatkan undang-undang berkaitan kepatuhan kepada SOP berbanding melaksanakan pelbagai sekatan seperti pernah dilakukan," katanya.

Halimatus Sakdiah berkata, masyarakat di negara ini tidak perlu panik dengan kewujudan Omicron jika mematuhi SOP termasuk memakai pelitup muka di tempat awam, membasuh dan mensanitasi tangan serta mengelak berada di tempat sesak.

Katanya, adalah penting untuk melakukan ujian kit saringan pantas (RTK) sebelum pulang ke kampung atau bercuti.

"Langkah berjaga-jaga amat penting dalam mengekang penularan Omicron walaupun varian itu dikatakan tidak akan menyebabkan gejala serius," katanya.

Berita Harian X