Jumaat, 3 Disember 2021 | 3:38pm

Anjing pengesan bantu kesan mangsa

IPOH: Kerja pembersihan di kawasan tanah runtuh di Seksyen 27 FT 185, Kilometer 27.10, Jalan Simpang Pulai-Blue Valley di sini, masih diteruskan.

Ia bagi memudahkan operasi mengesan jika ada mangsa yang masih tertimbus dengan menggunakan khidmat Unit Anjing Pengesan (K9).

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Bomba Malaysia (JBPM) Perak Muhamad Shahrizal Aris, berkata Jabatan Kerja Raya (JKR) masih menjalankan kerja pembersihan dan meratakan runtuhan berkenaan.

"Kita akan gerakkan unit K9 untuk pencarian di lokasi, sekiranya ada lagi mangsa yang masih tertimbus di tanah runtuh berkenaan.

"Dua anjing dari Unit K9 JBPM Kuala Lumpur digunakan untuk melakukan pengesahan lokasi.

"Kita akan gerakkan unit K9 dua kali dan jika pencarian kali pertama memberikan keputusan negatif, kita akan membuat pencarian untuk pengesahan kali kedua.

"Sekiranya ia juga negatif, kita akan membuat keputusan sama ada hendak terus atau tamatkan operasi ini," katanya pada sidang media di lokasi, hari ini.

Menurutnya, setakat ini tiada petunjuk lain yang menunjukkan bahawa ada kenderaan lain tertimbus di dalam runtuhan tanah berkenaan.

Berdasarkan kepada kenyataan saksi semalam, mengatakan hanya satu lori dan satu MPV.

Katanya, tiada lagi pergerakan tanah dikesan sepanjang operasi dijalankan anggota sejak semalam dan pihak Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) sedang membuat pemerhatian terhadap kawasan runtuhan.

"Berdasarkan cuaca kita juga sedang menunggu saranan daripada JMG untuk mengesahkan keberbahayaan di lokasi yang mana kita bimbang berkemungkinan boleh berlaku runtuhan lagi.

"Kedalaman runtuhan ke permukaan sedalam lima hingga tujuh meter. Dalam keadaan hujan ini, mungkin kita teruskan atau berhentikan dahulu sementara kerja pembersihan sehingga kita yakin selamat," katanya.

Kerja pembersihan masih sedang dijalankan di lokasi insiden tanah runtuh di Seksyen 27 FT 185 Kilometer 27.10 Jalan Simpang Pulai-Blue Valley. - Foto NSTPBalqis Jazimah Zahari
Kerja pembersihan masih sedang dijalankan di lokasi insiden tanah runtuh di Seksyen 27 FT 185 Kilometer 27.10 Jalan Simpang Pulai-Blue Valley. - Foto NSTPBalqis Jazimah Zahari
Berita Harian X