Jumaat, 3 Disember 2021 | 11:23am
Insiden tanah runtuh di Seksyen 27, Kilometer (KM) 39 FT 185 Jalan Simpang Pulai-Blue Valley (Cameron Highlands), semalam. - Foto ihsan pembaca
Insiden tanah runtuh di Seksyen 27, Kilometer (KM) 39 FT 185 Jalan Simpang Pulai-Blue Valley (Cameron Highlands), semalam. - Foto ihsan pembaca

Hanya 2 kenderaan disahkan tertimbus tanah runtuh

IPOH: Hanya dua kenderaan disahkan terbabit, setakat ini, dalam insiden tanah runtuh di Seksyen 27, Kilometer (KM) 39 FT 185 Jalan Simpang Pulai-Blue Valley (Cameron Highlands), semalam.

Sebelum ini, tiga kenderaan dikatakan tertimbus dalam runtuhan itu membabitkan sebuah lori, kenderaan pelbagai guna (MPV) dan kereta.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak memaklumkan setakat kira-kira jam 9.10 pagi tadi, hanya dua kenderaan dikenal pasti terbabit, iaitu lori dan MPV.

Bagaimanapun, katanya, pihak jabatan itu masih meneruskan operasi, termasuk membersihkan laluan berkenaan bagi memastikan tiada lagi kenderaan mahupun mangsa lain terbabit.

Katanya, mangsa maut dalam insiden itu dikenal pasti sebagai pemandu lori, Muhamad Hafiz Hamdi, 31, dan pemandu MPV, Tan Chee Heng, 36.

Insiden tanah runtuh di Seksyen 27, Kilometer (KM) 39 FT 185 Jalan Simpang Pulai-Blue Valley (Cameron Highlands), semalam. - Foto Bomba
Insiden tanah runtuh di Seksyen 27, Kilometer (KM) 39 FT 185 Jalan Simpang Pulai-Blue Valley (Cameron Highlands), semalam. - Foto Bomba

"Mayat Muhamad Hafiz dijumpai jam 10.46 malam tadi, manakala mayat Chee Heng pula ditemui pada jam 9.54 malam.

"Berdasarkan maklumat terkini, hanya ada dua kenderaan terperangkap, iaitu lori dan MPV," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya lagi, operasi mencari dan menyelamat (SAR) diteruskan dengan penggunaan jentera berat meliputi jengkaut, membabitkan kekuatan 139 anggota pelbagai agensi.

Katanya, operasi berkenaan turut membabitkan kepakaran khas, termasuk daripada Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM) JBPM, Unit Anjing Pengesan K9, serta Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART).

Berita Harian X