Jumaat, 3 Disember 2021 | 8:29am
Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor
Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor

Belanjawan Sabah 2022 dibentang petang ini

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah akan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2022 atau Belanjawan Negeri 2022 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dijadual bermula jam 3 petang ini.

Belanjawan kedua kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu akan dibentangkan Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor selaku Menteri Kewangan negeri, disusuli sesi soal jawab dan perbahasan Belanjawan Negeri 2022 pada Isnin hingga Khamis depan.

Hajiji dalam perkongsian di laman Facebook beliau semalam, menyifatkan belanjawan tahun depan sangat penting kerana menggariskan segala inisiatif, usaha dan langkah yang diambil oleh kerajaan bagi memulih dan menjana semula ekonomi negeri yang terjejas akibat pandemik COVID-19 bagi menjamin kesejahteraan rakyat.

Beliau turut mengajak rakyat Sabah untuk sama-sama mengikuti pembentangan itu yang disiarkan secara langsung di laman Facebook rasminya.

"Bersama kita saksikan usaha, inisiatif dan langkah yang dirangka oleh kerajaan bagi memulihkan dan menjana semula ekonomi negeri menerusi belanjawan tahun hadapan demi kemakmuran dan kesejahteraan semua rakyat Sabah," katanya.

Belanjawan Sabah tahun depan dijangka membabitkan perbelanjaan yang lebih besar bagi menyokong pelan pemulihan ekonomi negeri selain melaksanakan pelan pembangunan Halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2021-2025.

Dalam Belanjawan 2021 yang dibentangkan pada 18 Disember tahun lalu, kerajaan negeri menyediakan peruntukan sebanyak RM4.303 bilion bagi menampung perbelanjaan perbekalan dan pembangunan negeri pada tahun ini.

Bajet tahun ini mencatat lebihan RM178.7 juta berdasarkan unjuran hasil lebih besar bagi tahun 2021 iaitu sebanyak RM4.481 bilion.

Sementara itu, menerusi satu kenyataan sebelum ini, DUN Sabah menetapkan semua yang hadir pada persidangan berkenaan termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan pegawai mereka serta media wajib menjalani ujian saringan COVID-19 dalam tempoh tiga hari dengan membawa keputusan negatif untuk ditunjukkan kepada petugas DUN.

Semua yang hadir turut diingatkan supaya mematuhi sepenuhnya prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan termasuk berhubung pemakaian pelitup muka, penggunaan cecair pembasmi kuman dan penjarakan fizikal satu meter bagi mencegah COVID-19.

Berita Harian X