Khamis, 2 Disember 2021 | 7:27pm
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Selangor setuju terima cadangan Jajaran Utara ECRL - Amirudin

KUALA LUMPUR: Kerajaan Selangor bersetuju menerima cadangan Jajaran Utara Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan seterusnya meluluskan Jajaran Seksyen C ECRL, kata Menteri Besarnya, Datuk Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata, jajaran itu membabitkan Seksyen C1 dari Mentakab ke Gombak dan Seksyen C2 merangkumi Gombak-Serendah-Pelabuhan Klang.

"Setelah memperhalusi laporan kesemua 37 sesi libat urus projek ECRL bersama-sama dengan jabatan dan agensi kerajaan negeri, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang bermesyuarat pada 17 November 2021 dan sekali lagi pada 24 November, bersetuju untuk menerima cadangan Jajaran Utara ECRL dan seterusnya meluluskan Jajaran Seksyen C ECRL.

"Sehubungan itu, saya dengan rasminya memaklumkan bahawa kerajaan Selangor tiada lagi halangan bagi pelaksanaan ECRL untuk merentasi bahagian utara Selangor," katanya berucap pada Majlis Penyerahan Dokumen Seksyen C (Jajaran Utara) ECRL antara MRL dan syarikat China Communications Construction Company Ltd (CCCC) di sini hari ini.

Katanya, kerajaan negeri turut menyokong pembinaan lima stesen ECRL di Selangor, iaitu ITT Gombak, Serendah Baru, Jalan Kastam dilaksanakan di peringkat awal, manakala dua stesen ECRL, iaitu Puncak Alam dan Kapar telah ditetapkan sebagai stesen perancangan masa depan dan bakal dibina mengikut keperluan.

Amirudin berkata, Selangor juga optimis mengenai reka bentuk terperinci ECRL dan penyediaan pelan pengambilan tanah mengikut Seksyen 8, APT 1960 dapat dijalankan pada awal 2022 dan seterusnya membolehkan permulaan kerja-kerja fizikal bagi menyempurnakan Jajaran Utara ECRL.

"Kerajaan Selangor kekal positif dan peka terhadap inisiatif kerajaan Persekutuan memilih Jajaran Utara, yang antaranya dapat merancakkan kawasan Serendah sebagai lokasi penting pemindahan, pertukaran hab kargo baharu di Selangor," katanya.

Katanya, Pintasan Serendah (Serendah Bypass) dalam laluan ECRL akan dapat menyelesaikan masalah kesesakan servis kargo yang kerap dihadapi Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) ketika melintasi pusat bandar Kuala Lumpur.

"Perbelanjaan infrastruktur ECRL jajaran utara ini turut menawarkan pengurusan belanjawan serampang dua mata - pelaksanaan dua projek rel iaitu ECRL dan Pintasan Serendah pada satu harga.

"Kerajaan negeri juga menyokong Jajaran Utara berdasarkan komponen utama Projek ECRL dalam melengkapkan jambatan darat bagi pengangkutan kargo dari Pelabuhan Kuantan ke Pelabuhan Klang yang berkebarangkalian lebih efektif dengan ketersambungan rel hingga ke terminal di Northport dan Westports," katanya.

Selain itu, Amirudin berkata, kerajaan negeri berharap Jawatankuasa Pembangunan Bersama Pulau Carey dapat ditubuhkan supaya hasrat untuk menjadikan Pulau Carey sebagai hab logistik terbesar dapat direalisasikan secepat mungkin. – BERNAMA

Berita Harian X