Khamis, 2 Disember 2021 | 6:50pm
KUALA LUMPUR 27 NOVEMBER 2021. Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hadir membuat laporan polis mengenai pemulangan dana 1MDB di IPD Dang Wangi. STR/ AZIAH AZMEE
KUALA LUMPUR 27 NOVEMBER 2021. Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hadir membuat laporan polis mengenai pemulangan dana 1MDB di IPD Dang Wangi. STR/ AZIAH AZMEE

Najib mohon kemuka bukti baharu

Oleh Ahmad Johari Mohd Ali

ajohari@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Kuala Lumpur: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, hari ini memfailkan permohonan untuk memasukkan bukti baharu dalam rayuan kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd.

Dalam permohonannya, beliau mendakwa terdapat pembabitan keluarga bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz dengan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low.

Najib melalui firma guaman Tetuan Shafee & Co, memfailkan notis usul dengan memohon mahkamah rayuan menerima masuk bukti baharu yang dikemukakan bagi membolehkan rayuannya didengar kembali sebelum dipertimbangkan panel hakim untuk keputusan.

Rayuan Najib terhadap sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta atas tujuh tuduhan pecah amanah jenayah (CBT), pengubahan wang haram dan menyalahgunakan kedudukan, akan diputuskan Mahkamah Rayuan 8 Disember ini.

Bukti baharu yang dipohon oleh Najib untuk dimasukkan bagi tujuan rayuannya ialah keterangan lisan bekas Ketua Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Azam Baki, pegawai penyiasat SPRM Rosli Hussein dan keterangan saksi lain atau apa-apa keterangan tambahan lanjut yang berbangkit.

Rosli adalah saksi pendakwaan ke-57 dalam perbicaraan kes penyelewengan dana SRC International, manakala Azam tidak pernah dipanggil memberi keterangan sama ada sebagai saksi pendakwaan atau pembelaan.

Najib dalam afidavit sokongannya berkata, beliau memfailkan notis usul itu selepas mendapati keterangan berkaitan pembabitan Zeti dan ahli keluarganya tidak dimaklumkan atau didedahkan kepada pasukan pembelaannya sebelum atau sepanjang perbicaraannya.

Katanya, beliau hanya mengetahui mengenai perkara itu selepas SPRM mengeluarkan kenyataan bahawa Singapura memulangkan AS$15.4 juta berkaitan akaun Cutting-Edge Industries Ltd, yang antaranya dipunyai suami Zeti, Tawfiq Ayman.

"Saya sesungguhnya percaya keterangan tambahan dua individu ini adalah perlu demi menjaga kepentingan keadilan. Saya juga percaya keterangan yang dicadangkan untuk dikemukakan melalui permohonan ini berkaitan rayuan SRC International adalah wajar dan sesuai," katanya

Najib berkata, keterangan baharu itu jika tidak 'disorok' oleh BNM, SPRM dan juga pendakwaan, boleh menyebabkan keputusan Mahkamah Tinggi berpihak kepadanya dan mampu menimbulkan keraguan munasabah dalam kes SRC International.

Bekas perdana menteri itu berkata, pada 19 November lalu, SPRM mengeluarkan kenyataan mengenai pemulihan aset dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan sebelum itu, Kerajaan Singapura memulangkan AS$15.4 juta berkaitan akaun Cutting-Edge Industries Ltd (CEIL), kepunyaan antara lain, Tawfiq.

Beliau berkata, pada Oktober dan Disember 2020, portal berita melaporkan bahawa Zeti dan keluarganya menerima berjuta dolar daripada Jho Low, termasuk daripada dana dikaitkan dengan 1MDB dan pihak berkuasa Singapura merampas akaun bank CEIL di UBS AG Singapura, yang dikatakan memegang dana itu.

Najib berkata, empat akuan berkanun ditandatangani oleh Tawfiq dan dua anak lelakinya, Alif Ayman Aziz dan Abdul Aziz, atas kapasiti mereka sendiri dan bagi pihak CIEL, yang mana mereka mengaku untuk menjadi pemilik benefisial bagi akaun bank CIEL yang khusus yang dipegang di UBS AG Singapura;

Katanya, mereka melepaskan semua tuntutan terhadap wang yang disimpan dalam akaun itu dan bersetuju untuk dipindahkan ke akaun yang mungkin ditentukan oleh IMDB;

Jelas Najib lagi, pada sidang Parlimen di Dewan Rakyat pada 22 November lalu, Menteri Undang-Undang, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar ditanya mengenai isu wang berkaitan 1MDB yang dihantar ke akaun ahli keluarga Zeti dan mendedahkan bahawa maklumat itu berada dalam pengetahuan Jabatan Polis Diraja Malaysia sejak 2019.

Beliau berkata, dalam temu bual disiarkan pada 24 Disember lalu, bekas Peguam Negara Tommy Thomas ketika ditanya pandangannya mengenai Zeti dan 1MDB, secara terang-terangan mengakui bahawa beliau mengetahui peranan Zeti dan suaminya dalam memudahkan urusan Jho Low dalam perkara yang membabitkan 1MDB.

Katanya, Tommy seterusnya mendedahkan bahawa terdapat kertas siasatan yang dibuka oleh SPRM terhadap Zeti tetapi mendakwa bahawa beliau tidak pernah melihat perkara sama ketika memegang jawatan Peguam Negara.

"Saya sesungguhnya menyatakan bahawa keterangan di atas yang diambil secara kumulatif kini dapat disahkan dengan kepercayaan bahawa Zeti melalui ahli keluarganya menerima lebih kurang RM65 juta daripada Jho Low daripada dana yang berkaitan dengan 1MDB.

"Selain itu, bukti kredibel yang boleh dipercayai mengesahkan Zeti mempunyai hubungan yang sudah lama terjalin dengan Jho Low dan bekerjasama untuk memudahkan usaha penyelewengan dan tindakan jahat ke atas syarikat 1MDB dan seterusnya kepada anak syarikatnya, SRC.

"Saya dinasihatkan oleh peguam saya dan sesungguhnya percaya bahawa keterangan ini adalah relevan dengan isu dibangkitkan dalam perbicaraan dan isu yang dibicarakan dalam rayuan," katanya.

Najib berkata, ia adalah sebahagian

daripada kes beliau bahawa dirinya bergantung kepada BNM dan Zeti untuk membangkitkan sebarang isu jika terdapat perkara yang tidak diingini berlaku berkaitan dengan transaksi.

Beliau berkata, oleh kerana tiada apa yang dibangkitkan, beliau percaya secara bona fide bahawa dana yang diterima dalam akaunnya adalah derma daripada kerabat diraja Arab seperti yang digambarkan dalam empat surat yang dilaporkan kepada BNM dan Zeti.

Katanya, oleh kerana tiada sebarang isu dibangkitkan oleh Ambank, BNM atau Zeti, beliau tidak mempunyai sebab untuk mengesyaki dana dalam akaunnya bukan daripada derma yang diberikan kepadanya oleh kerabat diraja Arab.

"Saya percaya keterangan yang kini ditemui dan disahkan mendedahkan pembabitan Zeti di dalam skim Jho Low dan peranan Zeti dalam memudahkan Jho Low menyebabkan tiada tanda merah atau amaran penyelewengan dibangkitkan mengenai urus niaga dalam akaun saya dari 2011 hingga 2015.

"Walaupun perkara itu dilaporkan secara peribadi kepada BNM dan Zeti, ia menyediakan ruangan untuk Jho Low menjalankan manipulasinya.

"Saya percaya sekiranya keterangan itu dikemukakan ketika perbicaraan, mahkamah akan mencapai pendapat berbeza yang memihak kepada saya dan mengakibatkan wujudnya keraguan munasabah ditimbulkan terhadap kes pendakwaan ke atas semua pertuduhan.

"Walaupun demikian, keterangan penting itu tidak pernah didedahkan oleh pihak pendakwaan mahupun saksi SPRM atau BNM di dalam perbicaraan kes ini.

"Ia jelas menunjukkan bahawa pihak Pendakwa Raya secara aktif menyembunyikan material yang memihak kepada pihak pembelaan," katanya.

Berita Harian X