Khamis, 2 Disember 2021 | 5:23pm
Laporan BH Online mengenai kenderaan dipercayai tertimbus tanah runtuh di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands, tengah hari tadi.
Laporan BH Online mengenai kenderaan dipercayai tertimbus tanah runtuh di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands, tengah hari tadi.

Laluan terbabit tanah runtuh ditutup sepenuhnya

IPOH: Kejadian tanah runtuh di Seksyen 27 FT 185 Jalan Simpang Pulai-Blue Valley tengah hari tadi, berlaku ketika laluan alternatif ke Cameron Highlands, iaitu di Seksyen 33 FT 059 Jalan Tapah-Ringlet masih ditutup berikutan bencana sama pada 23 November lalu.

Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Kinta melalui notis di Facebook, memaklumkan laluan FT 185 ditutup sepenuhnya kepada semua trafik bermula jam 3 petang tadi sehingga dimaklumkan kelak.

Terdahulu pagi tadi, JKR Daerah Batang Padang juga melalui notis di Facebook, berkata laluan Persekutuan FT059, iaitu Jalan Tapah-Ringlet akan mula dibuka sepenuhnya kepada semua lalu lintas bermula jam 5 petang ini berikutan laluan di Seksyen 33 turut mengalami tanah runtuh sebelum ini.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun, berkata kejadian tanah runtuh di Seksyen 27 FT 185 dilaporkan berlaku jam 2.30 petang, membabitkan runtuhan sepanjang 100 meter di kawasan cerun potong.

"Pada masa ini, laluan berkenaan tidak selamat untuk semua jenis kenderaan dan masih dikawal ketat oleh pihak konsesi, Belati Wangsa Sdn Bhd. Puncanya masih dalam siasatan, namun hujan berterusan menyebabkan hakisan tanah.

"Pemantauan dilakukan dari masa ke semasa oleh JKR daerah serta pihak konsesi jalan Persekutuan," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Terdahulu, media melaporkan ada kenderaan yang dinaiki beberapa penumpang dipercayai tertimbus tanah runtuh dalam kejadian berkenaan.

Berita Harian X