Khamis, 2 Disember 2021 | 5:15pm
Pengawal keselamatan memeriksa kenderaan memasuki Sekolah Seri Puteri kerana ada penularan COVID-19. - Foto NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM
Pengawal keselamatan memeriksa kenderaan memasuki Sekolah Seri Puteri kerana ada penularan COVID-19. - Foto NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM

Wabak di Sekolah Seri Puteri meningkat kepada 139 kes

KUALA LUMPUR: Jumlah kes positif di Sekolah Seri Puteri di Cyberjaya, meningkat kepada 139 orang, sehingga jam 3 petang tadi.

Ini membabitkan 114 pelajar, 15 guru dan 10 petugas sekolah.

Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr Shaa'ri Ngadiman, berkata semua kes positif akan dirujuk ke Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Bersepadu (PKRC) 2.0 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS).

Katanya, kontak rapat pula akan ditempatkan di stesen kuarantin kerajaan.

"Semua 139 kes yang positif COVID-19 berada dalam keadaan stabil serta berada dalam kategori 1 dan kategori 2A (bergejala tetapi berisiko rendah).

"Petugas Pusat Kesihatan Daerah (PKD) Sepang dan sekolah juga akan bekerjasama rapat dalam menangani Kluster Persiaran Tasik ini," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sehingga jam 3 petang tadi, Dr Shaa'ri berkata, PKD Sepang sudah menyaring 946 orang, termasuk 849 pelajar, 59 guru dan 38 petugas.

"PKD ini juga sudah melakukan saringan semalam ke atas 240 pelajar dan seramai 65 kes positif COVID-19 dikesan. Proses saringan itu diteruskan hari ini kepada 523 orang lagi yang terdiri dari 432 pelajar, 53 guru dan 38 petugas," katanya.

Dr Shaa'ri juga berkata, kes indeks ialah seorang guru sekolah itu yang bergejala pada 22 November lalu dan disahkan positif dua hari kemudian.

"Hasil saringan kontak rapat mengesan tujuh lagi kes, iaitu enam pelajar dan seorang guru. Kluster COVID-19 diumumkan pada Isnin lalu sebagai Kluster Persiaran Tasik.

"Semua enam pelajar itu sudah dirujuk ke PKRC MAEPS, manakala dua guru itu pula menjalani pengasingan di rumah," katanya.

Berita Harian X