Khamis, 2 Disember 2021 | 4:33pm
Pengerusi Majlis Pemulihan Negara, Tan Sri Muhyiddin Yassin
Pengerusi Majlis Pemulihan Negara, Tan Sri Muhyiddin Yassin

Jawatankuasa Kabinet tangani isu kenaikan harga barang

KUALA LUMPUR: Majlis Pemulihan Negara (MPN)

mencadangkan penubuhan sebuah Jawatankuasa Kabinet untuk menangani isu kenaikan harga barangan dan perkhidmatan.

Pengerusi MPN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata

jawatankuasa itu bertujuan membantu meringankan beban rakyat pada waktu yang sukar ini.

"Saya mengikuti dengan dekat perkembangan semasa berkenaan isu kenaikan harga barang di Malaysia terutamanya barang makanan.

"Data terkini daripada Jabatan Perangkaan menunjukkan Indeks Harga Pengeluar (IHPR) bagi pengeluaran tempatan meningkat sebanyak 12.3 peratus pada September 2021, berbanding sembilan peratus yang dicatatkan pada bulan sebelumnya.

"Ini akan menyebabkan peningkatan inflasi untuk beberapa bulan akan datang yang tentunya akan membebankan pengguna," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Muhyiddin berkata, beliau memandang serius isu kenaikan harga barang yang pada hematnya akan menjejaskan proses pemulihan negara.

Katanya, ketika ini, rakyat baru mula dapat menarik nafas lega selepas sektor ekonomi dibuka semula, namun kini terbeban dengan masalah kenaikan harga barang.

"MPN sudah meneliti kesan ke atas keupayaan sektor ekonomi untuk bangkit pulih sebaik ekonomi negara dibuka semula terutamanya dari sudut ketidakupayaan penawaran (supply) untuk memenuhi permintaan (demand) yang boleh menyebabkan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan," katanya.

Dalam hal ini, beliau berkata, MPN turut memberi tumpuan pada isu kekurangan tenaga kerja, yang meruncing dalam pelbagai sektor dan masalah kecairan (liquidity) dihadapi Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).

Katanya, MPN menubuhkan Jawatankuasa Tindakan Khas berkenaan isu tenaga kerja bagi mengenal pasti langkah penyelesaian segera yang boleh dipertimbang dan dilaksanakan oleh kerajaan.

"Jawatankuasa yang diterajui Kementerian Sumber Manusia dan dianggotai pelbagai agensi ini, akan membentangkan laporan dan cadangan penyelesaian kepada MPN dalam mesyuarat yang akan datang," katanya.

Selain itu katanya, MPN turut menubuhkan Jawatankuasa Tindakan Khas berkenaan isu kekangan aliran tunai dan pembiayaan bagi PMKS untuk mencari penyelesaian segera isu kecairan yang dihadapi dalam tempoh pemulihan ini.

Katanya, langkah itu dijangka dapat membantu PMKS memulakan perniagaan atau operasi dengan segera, sekali gus meningkatkan keupayaan penawaran.

"Jawatankuasa ini yang diterajui oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi juga akan membentangkan laporan dan cadangan penyelesaian kepada MPN," katanya.

Beliau berharap menerusi semua jawatankuasa yang dibentuk, agensi penguat kuasa akan terus melipatgandakan usaha penguatkuasaan untuk memastikan pengeluar, pembekal dan peniaga tidak mengambil kesempatan menaikkan harga pada kadar yang tidak munasabah.

Katanya, tindakan undang-undang yang tegas akan diambil di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 terhadap mereka yang ingkar.

Sementara itu, Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) turut memutuskan supaya PN menganjurkan Gerai Prihatin Rakyat, yang menjual barangan keperluan harian pada harga murah di seluruh negara.

"Ahli Majlis Tertinggi PN dan Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, dipertanggungjawabkan untuk mengetuai jawatankuasa di peringkat nasional bagi menganjurkan Gerai Prihatin Rakyat ini," katanya.

Berita Harian X