IPOH: Bomba sudah mengenal pasti kedudukan satu daripada dua kenderaan yang dipercayai terperangkap dalam kejadian tanah runtuh di Seksyen 27 FT 185 Jalan Simpang Pulai-Blue Valley (Cameron Highlands) petang tadi.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid, berkata bomba menemui sebuah lori yang terperangkap dalam kejadian itu pada jam 5.30 petang dan seorang mangsa dalam lori berkenaan.
Beliau berkata, mangsa yang berada di tempat pemandu lori berkenaan dikenalpasti sebagai Muhammad Hafiz Hamdi, 31, dari Tanjung Piandang, daerah Kerian, Perak.
Bagaimanapun, beliau berkata, setakat ini tidak dapat dipastikan sama ada terdapat individu lain turut berada dalam lori itu berikutan keadaan semasa.
"Begitu juga dengan keadaan mangsa di dalam sebuah lagi kenderaan pelbagai guna (MPV) yang turut terperangkap dalam insiden berkenaan," katanya pada sidang media, hari ini.
Mior Faridalathrash, berkata ketika kejadian pemandu lori berkenaan dalam perjalanan dari Cameron Highlands menghala Ipoh bagi menghantar sayur.
"Lelaki berkenaan dijumpai terperangkap dalam lori namun sekarang kita masih belum tahu keadaannya (yang sebenar). Kami akan cuba sehabis mungkin untuk mengeluarkan mangsa.
"Dua excavator sedang membersihkan kawasan itu dan setakat sekarang kita cuma boleh sahkan bahawa (hanya) sebuah lori terbabit dalam insiden tanah runtuh ini," katanya.
Sehingga jam 7 malam, pihak bomba masih berusaha untuk mengeluarkan kenderaan berat itu.
Sementara itu, Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, panggilan kecemasan berhubung kejadian itu diterima jam 1.44 petang tadi dengan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simpang Pulai dikejarkan ke lokasi bagi operasi menyelamat.
Katanya, maklumat awal yang diterima menyatakan terdapat sebuah kenderaan yang dipercayai dinaiki beberapa individu, tertimbus di bawah runtuhan tanah itu.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun pula berkata,
runtuhan tanah itu membabitkan jarak 100 meter di kawasan jenis cerun potong.
Katanya, runtuhan yang berlaku jam 2.30 petang tadi, menyebabkan laluan itu ditutup sepenuhnya kepada semua jenis kenderaan kerana menghalang kedua-dua arah jalan.