Khamis, 2 Disember 2021 | 3:46pm
Petugas perubatan memberikan suntikan dos penggalak vaksin COVID-19 Sinovac kepada penerima di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Offsite Tapak Ekspo Seberang Jaya, Pulau Pinang. - Foto NSTP
Petugas perubatan memberikan suntikan dos penggalak vaksin COVID-19 Sinovac kepada penerima di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Offsite Tapak Ekspo Seberang Jaya, Pulau Pinang. - Foto NSTP

Vaksin COVID-19 beri pelbagai keberkesanan

KUALA LUMPUR: Kajian keberkesanan pemberian vaksin di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) di negara ini antaranya mendapati ia mengurangkan 88 peratus risiko jangkitan virus itu.

Kajian ke atas 1,261,270 penerima vaksin itu dilaksanakan Institut Penyelidikan Klinikal (ICR) di bawah Institut Kesihatan Negara (NIH) dan Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) dari 1 April hingga 12 September lalu.

Timbalan Menteri Kesihatan II, Datuk Aaron Ago Dagang, berkata kajian berkenaan turut mendapati keberkesanan vaksin secara keseluruhan dalam mengurangkan risiko jangkitan bergejala adalah 86 peratus.

Katanya, keberkesanan vaksin mengurangkan kemasukan ke unit rawatan rapi (ICU) adalah 83 peratus dalam kalangan pesakit COVID-19, manakala mengurangkan risiko kematian pula 88 peratus.

"Vaksinasi lengkap juga mengurangkan risiko mendapat jangkitan 9.5 kali, berbanding individu tidak mendapat vaksin, selain mengurangkan risiko kematian sebanyak 17.9 kali ganda.

"Secara keseluruhan, vaksin diberi dalam PICK berkesan dalam mencegah dan mengurangkan jangkitan, termasuk jangkitan bergejala penyakit COVID-19 serta jangkitan serius dan kematian," katanya pada sesi lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Mohd Fasiah Mohd Fakeh (BERSATU-Sabak Bernam) mengenai kejayaan PICK dan pencapaian imuniti kelompok dalam kalangan populasi dewasa serta keperluan dos penggalak vaksin COVID-19.

Aaron Ago berkata, pemberian dos penggalak vaksin COVID-19 bertujuan memastikan imuniti diperoleh selepas menerima dos lengkap dapat dikekalkan bagi tempoh optimum, khususnya terhadap jangkitan varian Delta mulai 13 Oktober lalu.

"Inisiatif itu juga dilaksanakan bagi mengelak peningkatan semula kes COVID-19, terutama dalam kalangan kumpulan berisiko tinggi.

"Dos penggalak diberi kepada individu berusia 18 tahun ke atas dengan keutamaan kumpulan rentan dan berisiko tinggi bagi memastikan perkhidmatan kesihatan negara terus berfungsi pada tahap optimum," katanya.

Berita Harian X