Khamis, 2 Disember 2021 | 2:30pm
- Hiasan
- Hiasan

COVID-19 tidak jejas pertandingan sukan sekolah

PUTRAJAYA: Penularan COVID-19 sejak tahun lalu menyebabkan penganjuran pertandingan sukan di peringkat sekolah berubah dan terpaksa dijalankan secara dalam talian.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin bagaimanapun berkata, ia tetap diadakan bagi memberi peluang kepada murid menonjolkan bakat sukan mereka walaupun berada di rumah.

"Pandemik COVID-19 sejak awal 2020 memberi kesan mendalam kepada sektor pendidikan dan sektor sosial, terutama apabila kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Ia menyebabkan aktiviti sukan, termasuk latihan dan pertandingan secara bersemuka tidak dapat dilaksanakan.

"Namun, ia tidak menjadi penghalang kepada guru untuk menjadi lebih kreatif dan memanfaatkan sepenuhnya penggunaan teknologi bagi meneruskan pembelajaran termasuk menggilap potensi murid dalam bidang sukan," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Anugerah Sukan Kementerian Pendidik (KPM)-Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM)-MILO 2019, yang diadakan dalam talian, pagi ini.

Pertandingan Kemahiran Sukan MSSM Secara Dalam Talian 2021 turut dianjurkan secara dalam talian dan disertai seramai 46,269 peserta.

Radzi berkata, KPM amat menghargai usaha dan peranan dimainkan MSSM dalam mencungkil dan membentuk bakat atlet dalam kalangan murid.

"Ramai daripada mereka berjaya mengharumkan nama negara di persada sukan antarabangsa, termasuk di pentas sukan olimpik," katanya.

Beliau berkata, seramai 59 orang atlet murid dari Sekolah Sukan Bukit Jalil berjaya mengharumkan nama negara di persada dunia sejak Olimpik 2000 di Sydney hingga Olimpik 2020 di Tokyo tahun ini.

Katanya, walaupun aktif dalam sukan, atlet terbabit turut cemerlang dalam bidang akademik dan mempunyai kerjaya hebat seperti atlet gimrama, Lok Mei Hui, yang muncul pelajar terbaik aliran sains dengan memperoleh 9A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020.

"Ia termasuk jaguh berbasikal negara, Datuk Muhammad Azizulhasni Awang yang ditawarkan melanjutkan pengajian peringkat Ijazah Doktor Falsafah di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

"Atlet sukan memanah, Dr Mon Redee juga seorang Pensyarah Kanan, Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan di UPSI dan pakar oftalmologi Dr Goh Yi Wei juga atlet sukan gimrama," katanya.

Radzi berkata, KPM sentiasa mengalu-alukan kerjasama dengan pelbagai agensi dalam usaha meningkatkan kecemerlangan sukan termasuk Syarikat Nestle Products Sdn Bhd yang terus menjadi penaja majlis anugerah sukan itu selain pelbagai aktiviti sukan di sekolah, khususnya MSSM.

Berita Harian X