Khamis, 2 Disember 2021 | 1:30pm

CIMB Islamic bangun produk berlandas syariah

KUALA LUMPUR: CIMB Islamic Bank Bhd (CIMB Islamic) bersedia untuk memacu pertumbuhan selanjutnya dengan tumpuan dalam tiga bidang utama bagi mengukuhkan lagi kehadirannya dalam pasaran kewangan Islam domestik dan serantau.

CIMB Islamic kini adalah institusi perbankan Islam kedua terbesar di Malaysia dari segi jumlah asetnya yang berjumlah RM119 bilion setakat Jun 2021.

Sementara itu, jumlah pembiayaannya dalam tempoh sama mencecah RM85.63 bilion, dengan deposit daripada pelanggan berjumlah RM96 bilion.

Cabang kewangan Islam Kumpulan CIMB itu aktif membangunkan produk dan perkhidmatan komprehensif berlandaskan syariah yang menepati kehendak pasaran dan pada masa sama menyumbang kepada kerancakan pembangunan pasaran modal Islam negara.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Shahriman Mohd Shariff, berkata strategi CIMB Islamic bertumpu kepada pengurusan kekayaan berlandaskan syariah, pembangunan ekonomi halal dan kelestarian yang dilihat mempunyai peluang pertumbuhan masa depan yang cerah.

Beliau berkata, dalam bidang pengurusan kekayaan berlandaskan syariah, pihaknya mengambil pendekatan menyediakan penyelesaian yang dapat menangani masalah seperti isu pembahagian harta dalam kalangan umat Islam di negara ini.

Jelasnya, bagi tujuan itu, CIMB Islamic bekerjasama dengan rakan takafulnya bagi melancarkan produk yang mempunyai elemen hibah dan dilihat sebagai elemen penting dalam menyelesaikan isu pembahagian harta.

Lagipun, katanya, dari segi perundangan, pembahagian harta menerusi hibah sudah termaktub secara terperinci dalam Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013, justeru hibah mempunyai perlindungan dari segi undang-undang.

"Rakan kerjasama takaful kami ialah Sun Life Malaysia Takaful. Kami melancarkan lebih banyak produk yang membantu pelanggan kami mengagihkan harta mereka menerusi hibah.

"Banyak lagi penyelesaian yang akan kami lancarkan sejajar dengan usaha kami untuk mengembangkan perkhidmatan kami dalam bidang ini," katanya kepada BH dalam satu temu bual ekslusif baru-baru ini.

Ahmad Shahriman berkata, dalam pengurusan kekayaan Islam, CIMB Islamic juga menawarkan produk berkaitan pelaburan yang dapat membantu pelanggan mempelbagaikan pelaburan untuk peluang meraih pulangan yang tinggi.

Beliau berkata, kebanyakan pelaburan berlandaskan syariah tertumpu kepada pasaran Malaysia yang seperti sedia maklum, pasaran negara ini sudah matang, justeru kadar pertumbuhan yang konsisten.

"Oleh itu, apa yang kami lakukan adalah memberi peluang kepada pelanggan kami dengan mendedahkan mereka kepada pelaburan berlandaskan syariah di pasaran lain.

"Strategi kami bagi produk pelaburan ialah memberi pilihan yang lebih meluas kepada pelanggan untuk mereka menjana pulangan yang tinggi," katanya.

Ahmad Shahriman Mohd Shariff
Ahmad Shahriman Mohd Shariff

Di samping itu, Ahmad Shahriman berkata, dalam segmen pengurusan kekayaan, CIMB Islamic juga turut menerapkan aspek penyucian harta dan pelaburan menerusi elemen zakat, wakaf dan sedekah dalam produk yang ditawarkan.

Beliau berkata, pihaknya bekerjasama rapat dengan pihak zakat dan wakaf untuk menawarkan produk yang mempunyai elemen berkenaan.

Bagi segmen ekonomi halal pula, Ahmad Shahriman berkata, bank Islam inovatif itu menawarkan produk dan perkhidmatan yang membantu syarikat Malaysia termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk berdaya saing dalam pasaran halal global dengan memperoleh pensijilan halal, menyediakan pembiayaan kepada mereka yang mahu menukar perniagaan kepada berlandaskan syariah dan menyediakan akses pasaran dengan mengadakan padanan perniagaan pada peringkat global.

Beliau berkata, CIMB Islamic juga aktif dalam terbitan sukuk pada peringkat global, yang mana pihaknya adalah peneraju pengatur sukuk global.

Katanya, pada tahun ini, bank Islam itu berjaya melaksanakan tiga mandat, iaitu mandat sukuk global bagi Malaysia, United Kingdom (UK) dan Indonesia.

"Ini adalah 'hatrik', saya rasa ini testimoni kepada pengiktirafan yang diberikan komuniti global terhadap keupayaan CIMB Islamic bersama cabang perbankan pelaburan Kumpulan CIMB bagi menerbitkan sukuk global.

"Daripada tiga sukuk itu, yang kami terbitkan untuk kerajaan Indonesia ialah sukuk hijau, sementara bagi Malaysia ialah sukuk kelestarian.

"Kedua-duanya itu adalah inovasi yang melibatkan CIMB Islamic dengan sokongan kepakaran oleh CIMB Investment Bank untuk terus membangunkan pasaran modal Islam," katanya.

Mengulas lanjut strategi dalam segmen kelestarian pula, Ahmad Shahriman berkata, tumpuan pihaknya meliputi dua bidang, iaitu alam sekitar, kewangan sosial dan komuniti.

Beliau berkata, CIMB Islamic komited dalam membantu merealisasikan komitmen Kumpulan CIMB dalam mencapai sasaran pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.

Katanya, Kumpulan CIMB juga memperuntukkan sejumlah RM30 bilion dan sedang giat digerakkan ke arah kewangan lestari menjelang 2024 bersama dengan komitmen Tanpa Penebangan Hutan, Tanpa Tanah Gambut, Tanpa Eksploitasi (NDPE).

Selain itu, Ahmad Shahriman berkata, pelanggan CIMB Islamic menerusi Akaun Simpanan EcoSave-i berpeluang menyumbang kepada inisiatif hijau, yang mana pihaknya akan menyumbang 0.2 peratus daripada purata baki jumlah portfolio kepada inisiatif berkenaan.

Bangunan CIMB Islamic Bank Bhd.
Bangunan CIMB Islamic Bank Bhd.

Beliau berkata, dalam bidang kewangan sosial dan komuniti pula, pihaknya membantu kumpulan asnaf, B40 dan kumpulan rentan lain menerusi program keusahawanan untuk membolehkan golongan berkenaan mempunyai pengetahuan dan disiplin untuk memulakan perniagaan atau memperbesarkan perniagaan sedia ada.

Katanya, CIMB Islamic bekerjasama rapat dengan pelbagai rakan kerjasama untuk mengendalikan program komprehensif dan memantau secara rapat kemajuan peserta program berkenaan.

"Dalam pada itu, CIMB Islamic juga memberikan dana kecemasan untuk membantu komuniti yang terkesan akibat COVID-19 serta bencana alam, termasuk juga sumbangan tablet dan basikal untuk pelajar di luar bandar," katanya.

Mengenai komitmen CIMB Islamic dalam Pengantaraan berasaskan Nilai (VBI), Ahmad Shahriman berkata, bank Islam itu adalah antara bank peneraju dalam menyediakan garis panduan mengikut sektor bagi mengenal pasti dan mengklasifikasikan aset yang terkait dengan iklim, aktiviti ekonomi termasuk kriteria alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) serta Perubahan Iklim dan Taksonomi Berasaskan Prinsip (CCPT) Bank Negara Malaysia (BNM).

Beliau berkata, garis panduan mengikut sektor itu membolehkan peserta perbankan di negara ini menilai, memantau dan meningkatkan pendedahannya terhadap aset hijau, sosial serta kelestarian dengan cara yang lebih holistik dan menjadi amalan bagi menangani perubahan iklim.

Dalam usaha pendigitalan pula, Ahmad Shahriman berkata, kumpulan perbankan berkenaan sudah melabur banyak dalam pemprosesan data memandangkan dengan pengumpulan data membolehkan ia menawarkan produk yang lebih baik dan menepati kehendak serta keperluan kewangan pengguna.

Berita Harian X