Khamis, 2 Disember 2021 | 1:16pm
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu. - Foto BERNAMA
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu. - Foto BERNAMA

Ahmad Faizal tawar diri terajui program kesedaran perkahwinan bawah umur

KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menawarkan diri untuk menerajui program kesedaran awam bagi mengelakkan perkahwinan di bawah usia 18 tahun.

Ahli Parlimen Tambun itu berkata, kesediaannya itu dibuat susulan sejumlah 445 murid di seluruh negara masing-masing 411 perempuan dan 34 lelaki direkodkan berhenti sekolah atas alasan mahu berkahwin.

Bekas Menteri Besar Perak itu berkata, fokus akan diberikan kepada elemen pendidikan dan kaedah memajukan diri dalam memperoleh kemahiran yang boleh memajukan diri serta memudahkan mereka menerima peluang pekerjaan dengan gaji lebih tinggi.

"Perkara ini perlu diberikan fokus, termasuk di kawasan luar bandar yang kita bimbang jika ada golongan ibu bapa yang ingin menyelesaikan masalah dengan mencari jalan mudah mengahwinkan anak mereka di usia muda.

"Saya faham dan akan bertindak supaya kementerian lebih membantu

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) yang menerajui dalam menggerakkan lebih banyak program boleh memberi kesedaran kepada anak muda," katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Lukanisman Awang Sauni (GPS-Sibuti) mengenai kesediaan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerajui program kesedaran awam berhubung perkahwinan bawah usia pada sesi Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Menjawab soalan tambahan Ahmad Fadhli Shaari (PAS-Pasir Mas) mengenai pembabitan pihak berkuasa agama, Ahmad Faizal bersetuju dengan pandangan itu.

"Saya anggap soalan ini satu pandangan yang akan menggerakkan kementerian (KBS) untuk bekerjasama dengan pihak negeri bagi mencari jalan supaya ia dapat diselaraskan serta permasalahan berhubung perkahwinan anak muda dalam usia belasan tahun ini dapat dikurangkan," katanya.

Sementara itu, Ahmad Faizal berkata, KPWKM sudah membangunkan Pelan Strategik Kebangsaan Bagi Menangani Punca Perkahwinan Bawah Umur pada 2020.

Katanya, pelaksanaan program atau tindakan itu membabitkan 61 agensi kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta pertubuhan antarabangsa.

"Pelan itu menggariskan enam faktor utama menjadi punca perkahwinan bawah umur di Malaysia, selain turut menggariskan strategi dan tindakan perlu diambil pelbagai pihak bagi menanganinya.

"Kementerian juga menggalakkan remaja dan belia di negara ini terbabit secara aktif dalam program anjuran KBS seperti Kem Anak Muda, Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda (ARPRM), Reben Kuning dan juga program berbentuk kesukarelawanan.

"Dengan membabitkan diri dalam program seperti itu, saya yakin akan dapat mengurangkan kecenderungan remaja atau belia untuk berkahwin awal," katanya menjawab soalan asal P Kasthurianni (DAP-Batu Kawan) mengenai usaha KBS untuk membantu membanteras perkahwinan bawah umur di Malaysia.

Berita Harian X