PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini melaksanakan budi bicaranya untuk tidak mengeluarkan waran tangkap terhadap Datin Seri Rosmah Mansor selepas beliau gagal hadir pada prosiding rayuannya hari ini.
Panel tiga hakim yang diketuai Datuk Hanipah Farikullah yang bersidang bersama-sama Datuk M Gunalan dan Datuk Hashim Hamzah bagaimanapun memberi peluang kepada Rosmah dan memerintahkannya hadir Isnin ini bagi mengikuti prosiding rayuan berkenaan.
Hanipah dalam penghakiman berkata, panel sebulat suara membuat keputusan menahan daripada mengeluarkan waran tangkap terhadap Rosmah kerana antara lain ia turut menimbangkan perayu (Rosmah) sebelum ini tidak pernah gagal hadir pada prosiding perbicaraan kes rasuahnya di mahkamah tinggi.
Katanya, peguam perayu memohon prosiding rayuan ditangguhkan kepada Isnin ini kerana beliau belum pulang ke Malaysia seperti diarahkan Mahkamah Tinggi pada 15 Oktober lalu dan mengakui anak guamnya tidak mematuhi arahan berkenaan.
Hakim itu berkata, menurut peguam, tindakan anak guamnya tidak mematuhi arahan itu tidak disengajakan dan dijelaskan kepada mahkamah.
Katanya, responden (Pendakwa Raya) bagaimanapun membantah dengan serius tindakan tidak mematuhi arahan mahkamah mewajibkan perayu berada di tanah air pada atau sebelum 21 November lalu dan menggesa mahkamah mengeluarkan waran tangkap terhadapnya.
"Kami menimbangkan hujahan kedua belah pihak berhubung isu mengeluarkan waran tangkap kerana gagal hadir prosiding hari ini dan pada masa sama, kami mengambil maklum penjelasan peguam terlepas pandang dalam menasihati anak guamnya.
"Kami juga mengambil maklum sehingga ke hari ini ini, perayu tidak pernah gagal hadir ke mahkamah pada prosiding perbicaraan terhadapnya di Mahkamah Tinggi.
"Selepas menimbangkan perkara ini, kami menggunakan budi bicara untuk menahan daripada mengeluarkan waran tangkap terhadap perayu pada peringkat ini dan memberikan peluang kepada perayu hadir di mahkamah seperti diaku janji oleh peguam.
"Sehubungan itu, seperti dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak, pendengaran rayuan hari ini ditangguhkan kepada Isnin ini," katanya.
Rosmah merayu keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya untuk membatalkan perbicaraan kes rasuahnya membabitkan projek tenaga solar dan menggugurkan Datuk Seri Gopal Sri Ram daripada mengetuai pendakwaan dalam kes terbabit.
Terdahulu, Peguam Datuk Jagjit Singh yang mewakili Rosmah memaklumkan mahkamah anak guamnya masih berada di Singapura.
Mahkamah Tinggi sebelum ini membenarkan beliau ke Singapura bagi melawat anak perempuannya Nooryana Najwa yang melahirkan anak kedua daripada 22 Oktober lalu dan mesti pulang ke Malaysia pada atau sebelum 21 November.
Hakim Mohamed Zaini Mazlan turut menetapkan syarat pasport Rosmah mesti dikembalikan pada atau sebelum 6 Disember 2021.
Pada awal prosiding, Hanipah berkata, beliau tidak melihat Rosmah di mahkamah dan mengambil maklum panel tidak menerima sebarang notis bagi pelanjutan perjalanannya ke Singapura.
Beliau berkata, panel hanya menerima surat daripada peguam yang menyatakan Rosmah akan pulang ke Malaysia pada 6 Disember ini dan surat berkenaan diserahkan 10 minit sebelum prosiding bermula hari ini.
"Surat itu menyatakan anak guam kamu akan kembali pada 6 Disember sedangkan perintah mahkamah menyatakan beliau mesti pulang pada 21 November lalu.
"Kami bersandarkan kepada perintah mahkamah, jika ada alasan untuk melanjutkan tempoh perjalanan, kamu mesti nyatakan kepada mahkamah.
Jagjit kemudian menjelaskan, terdapat perubahan kepada jadual perjalanan anak guamnya memandangkan perubahan peraturan kuarantin mengikut Laluan Perjalanan Vaksinasi (VTL) antara Malaysia dan Singapura.
Jagjit kemudian berkata, beliau mengambil tanggungjawab sepenuhnya di atas tindakan anak guamnya dan mengaku janji Rosmah akan hadir pada prosiding Isnin ini.