Khamis, 2 Disember 2021 | 10:48am
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin

73 pelajar, guru SSP positif COVID-19

KUALA LUMPUR: Seramai 71 pelajar dan dua guru sekolah berasrama penuh (SBP) Sekolah Seri Puteri (SSP) di Cyberjaya, disahkan positif COVID-19, setakat ini.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata daripada jumlah itu, seramai 65 pelajar dipindahkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang.

Beliau berkata, mereka adalah pesakit kategori satu serta dua dan dilaporkan stabil.

"Seramai 451 individu sudah disaring iaitu 437 pelajar, 13 guru dan seorang petugas. Semua guru dan pelajar lengkap vaksinasi kecuali empat individu yang belum lengkap vaksinasi.

"Seramai 65 pelajar ditempatkan di PKRC, manakala 242 kontak rapat dikuarantin di asrama sekolah ini," katanya menerusi ciapan di Twitter, hari ini.

Media malam tadi melaporkan, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin mengesahkan 65 pelajar SBP Sekolah Seri Puteri, Cyberjaya positif COVID-19 dan dihantar ke PKRC MAEPS Serdang.

Beliau yang hadir memantau situasi di sekolah itu berkata, pada mulanya seorang guru dijangkiti COVID-19, malah saringan kontak rapat kemudian mendapati terdapat seorang lagi guru dan enam pelajar positif COVID-19.

Keadaan itu dikatakan menyebabkan ibu bapa pelajar mendesak ujian saringan ke atas anak mereka dijalankan segera supaya pelajar dengan keputusan ujian negatif boleh pulang ke rumah masing-masing.

Khairy berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) akan terus memantau keadaan kesihatan pesakit dan memberi rawatan yang terbaik.

Beliau turut menekankan semua pihak untuk mengambil vaksin dan mengamalkan TRIIS iaitu lakukan ujian, lapor, asingkan, maklumkan serta dapatkan rawatan segera.

Berita Harian X