Rabu, 1 Disember 2021 | 8:23pm
Agong berkenan menerima persembahan perakuan naik taraf KUIPSAS daripada Noraini (kiri) dan disaksikan oleh Tengku Hassanal (kanan), hari ini. - Gambar ISTANA NEGARA
Agong berkenan menerima persembahan perakuan naik taraf KUIPSAS daripada Noraini (kiri) dan disaksikan oleh Tengku Hassanal (kanan), hari ini. - Gambar ISTANA NEGARA

KUIPSAS kini bertaraf universiti

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, hari ini berkenan menerima menghadap Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad di Istana Negara.

Istana Negara dalam kenyataan di Facebook memaklumkan pada sesi itu, Noraini mempersembah Watikah Perakuan Naik Taraf Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS) sebagai Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UNIPSAS) kepada Seri Paduka.

Turut berangkat dan menyaksikan penyerahan watikah, Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah yang juga Tuanku Canselor universiti berkenaan.

Hadir sama Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pengajian Tinggi, Dr Mohd Zabri Yusoff; Ketua Pengarah Pengajian Tinggi, Prof Datuk Dr Husaini Omar dan Rektor KUIPSAS, Prof Madya Dr Mohd Zawavi Zainal Abidin.

Dalam pada itu, pada sesi berasingan, Seri Paduka turut berkenan menerima menghadap Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin.

Turut hadir Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Prof Datuk Seri Dr Awang Sariyan dan Timbalan Ketua Pengarah (Dasar), DBP Md Johari Hasan. – BERNAMA

Agong menerima menghadap Radzi, Awang dan Md Johari. - Foto ISTANA NEGARA
Agong menerima menghadap Radzi, Awang dan Md Johari. - Foto ISTANA NEGARA

Berita Harian X