Rabu, 1 Disember 2021 | 7:27pm

Wilayah Persekutuan cuti pada Jumaat

PUTRAJAYA: Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim hari ini mengumumkan Jumaat sebagai Cuti Khas Peristiwa sempena kejayaan pasukan Kuala Lumpur City FC (KL City) menjuarai Piala Malaysia selepas menewaskan Johor Darul Ta'azim (JDT) semalam.

Shahidan, berkata pemberian Cuti Khas Peristiwa dibuat sebagai tanda meraikan dan memberikan penghargaan kepada semua penyokong yang memberikan sepenuh komitmen dan sokongan kepada KL City FC dalam mengharumkan nama Wilayah Persekutuan.

Katanya, Cuti Khas itu membabitkan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

"Keputusan pengisytiharan Cuti Khas Peristiwa ini adalah selaras dengan peruntukan kuasa yang diberikan di bawah Seksyen 9 (2) Akta Hari Kelepasan Am Tambahan 1951 (Akta 369).

"Bagi menghargai jasa pemain, kami akan memikirkan bentuk imbuhan yang akan diberikan kepada pemain dan pasukan KL City FC yang akan diumumkan dalam masa terdekat.

"Kita tahu mereka bermain bermati-matian untuk mengejar juara dan jasa pengorbanan mereka perlu dihargai," katanya pada satu sidang media, petang tadi.

Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil itu, KL City menewaskan JDT dengan jaringan 2-0.

KL City FC merangkul Piala Malaysia ke-100 tahun pada aksi final di Stadium Nasional Bukit Jalil dan mengesahkan kejuaraan tanpa sebarang kekalahan dalam kempen Piala Malaysia malah mereka meraih tiket ke Piala AFC musim depan.

Shahidan pada sidang media petang tadi - Foto NSTP/Samadi Ahmad
Shahidan pada sidang media petang tadi - Foto NSTP/Samadi Ahmad
Berita Harian X