Rabu, 1 Disember 2021 | 6:27pm
Radzi bertanyakan sesuatu kepada murid ketika mengadakan tinjauan pelaksanaan 10 peratus sampel saringan COVID-19 di SK Bandar Sri Damansara 3, di sini, hari ini. - Foto ihsan KPM
Radzi bertanyakan sesuatu kepada murid ketika mengadakan tinjauan pelaksanaan 10 peratus sampel saringan COVID-19 di SK Bandar Sri Damansara 3, di sini, hari ini. - Foto ihsan KPM

'Saringan COVID-19 murid sekolah rendah berjalan lancar' - Radzi

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) yakin pelaksanaan saringan bergilir COVID-19 untuk murid sekolah rendah dapat dilaksanakan dengan lancar dan teratur sehingga sesi persekolahan berakhir pada 11 Disember ini.

Menterinya, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata daripada maklumat diperoleh di sekolah, sebahagian besar murid pernah menggunakan kit ujian saringan kendiri COVID-19.

Katanya, murid juga memahami arahan diberikan oleh guru dan mereka melaksanakannya secara kendiri di tempat yang disediakan pihak sekolah.

"Alhamdulillah, kita lihat anak-anak ini memahami kaedah dan tatacara pelaksanaannya di sekolah.

"Justeru, ujian kendiri 10 peratus dalam kalangan murid terpilih akan terus dilaksanakan pada setiap Rabu hari persekolahan," katanya ketika mengadakan tinjauan pelaksanaan 10 peratus sampel saringan COVID-19 ke atas murid di Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Sri Damansara 3, di sini, hari ini.

Seramai 28 murid terpilih menjalani ujian saringan kendiri COVID-19 daripada 280 murid yang hadir di sekolah itu.

Sementara itu, Radzi berkata, pengambilan khas secara one-off bagi fasa pertama membabitkan 18,702 guru juga sudah melaporkan diri di sekolah masing-masing hari ini.

"Alhamdulillah proses pengambilan secara one-off ini berjalan dengan teratur dan saya mengucapkan terima kasih kepada pihak Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan kerana melaksanakan pengambilan ini.

"Kami juga bekerjasama rapat bagi memastikan pengambilan ini dapat dilaksanakan dengan cepat dan teratur," katanya.

Seorang guru, Shaharin Mohd Nor, 27, melahirkan rasa syukur dengan peluang diberikan KPM kepada guru yang mengambil iktisas pendidikan untuk mendapat penempatan di sekolah.

"Ini adalah hari pertama saya melaporkan diri di sekolah untuk fasa satu pengambilan one-off guru," katanya yang mengajar mata pelajaran muzik.

Berita Harian X