Rabu, 1 Disember 2021 | 5:44pm
Ada tuduhan di media sosial terhadap Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Harun. - Foto NSTP/GHAZALI KORI
Ada tuduhan di media sosial terhadap Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Harun. - Foto NSTP/GHAZALI KORI

Bukan skim untungkan kroni - KPWKM

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menafikan dakwaan tular di Twitter program Wanita Bangkit Berniaga dan MyKasih Kapital satu skim menguntungkan syarikat penganjur program keusahawanan terkenal di Malaysia, atas dasar kroni.

KPWKM dalam kenyataan hari ini memaklumkan Wanita Bangkit Berniaga ialah kerjasama strategik di antara kementerian itu dengan syarikat terbabit tanpa kos dan pemilihan syarikat itu sebagai rakan strategik, berikutan kemampuan dan prestasi melahirkan ribuan usahawan jutawan berjaya.

"Kolaborasi strategik di antara KPWKM bersama syarikat swasta dilihat satu usaha signifikan kerana matlamat program bagi membantu wanita tempatan yang terjejas pendapatan, ketika mengharungi pandemik COVID-19," menurut kenyataan itu.

KPWKM turut menafikan dakwaan disebarkan di platform sama bahawa peserta diminta membeli sebuah buku semasa program itu, sebaliknya peserta diberi pilihan sama ada ingin memuat turun e-book secara percuma atau mendapatkan buku secara fizikal dan peserta hanya perlu menanggung kos penghantaran.

Menurut KPWKM, program MyKasih Kapital yang dilancarkan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 12 April sempena sambutan Hari Wanita pada 8 Mac tahun ini pula bantuan suntikan modal untuk wanita memulakan perniagaan bagi menjana ekonomi keluarga.

KPWKM berkata, peruntukan keseluruhan geran berjumlah RM2 juta oleh Yayasan Kebajikan Negara menyasarkan 4,000 wanita yang ingin berkecimpung dalam bidang perniagaan dan program itu mendapat penyertaan yang menggalakkan melebihi 4,000 sasaran asal.

Menurutnya, semua peserta sudah dikenal pasti dan melalui proses saringan sebelum diberi bimbingan melalui pelbagai aktiviti, termasuk bengkel dan motivasi.

"KPWKM menyelar tindakan tanpa usul periksa yang dibuat oleh pemilik akaun (Twitter) terbabit kerana menggunakan bahasa kesat, dakwaan palsu, membuat tohmahan dan penghinaan yang keterlaluan terhadap Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Harun," menurut kenyataan itu.

Kementerian itu turut mengingatkan pengguna media sosial supaya lebih berhati-hati dalam membuat sebarang kenyataan atau perkongsian, agar tidak menyebarkan maklumat palsu kerana itu kesalahan mengikut Seksyen 211 dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, selain turut berdepan tindakan saman di mahkamah. – BERNAMA

Berita Harian X