Rabu, 1 Disember 2021 | 4:31pm
Kementerian dan agensi kerajaan diminta melantik munsyi bahasa. Gambar hiasan Pejabat Naib Canselor UTeM, Durian Tunggal, Melaka. - Foto NSTP/SYAFEEQ AHMAD
Kementerian dan agensi kerajaan diminta melantik munsyi bahasa. Gambar hiasan Pejabat Naib Canselor UTeM, Durian Tunggal, Melaka. - Foto NSTP/SYAFEEQ AHMAD

Kementerian patut lantik munsyi bahasa tahun lalu

PUTRAJAYA: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sudah mengeluarkan pekeliling tahun lalu meminta kementerian dan agensi kerajaan melantik munsyi bahasa, dalam memastikan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan terpelihara.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman, berkata pekeliling berkenaan bertujuan memperkasa bahasa Melayu pada peringkat kementerian.

"Kita ada akta dan Dasar Bahasa Kebangsaan. Baru tahun lalu kita keluarkan pekeliling untuk melantik munsyi bahasa di kementerian, untuk memastikan bahasa kebangsaan itu dipelihara dan dipertingkat," katanya kepada pemberita, hari ini.

Mohd Khairul Adib berkata, pihaknya juga menyedari penggunaan bahasa Inggeris pada program peringkat kementerian dan agensi kerajaan mengikut kesesuaian, terutama jika membabitkan khalayak antarabangsa.

Mengambil contoh perasmian Kompleks Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KL ATCC) baharu, di Sepang pagi tadi, beliau berkata, bahasa Melayu masih lagi digunakan biarpun membabitkan hubungan dengan pihak luar.

BH sebelum ini melaporkan, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, menegur agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan swasta di negara ini kerana lebih mengutamakan penggunaan bahasa Inggeris dalam majlis, mesyuarat, persidangan, projek dan produk mereka.

Perdana Menteri meminta supaya bahasa Melayu digunakan dalam semua acara atau majlis yang dianjurkan dengan meluas selepas ini.

Berita Harian X