Rabu, 1 Disember 2021 | 4:11pm

Sabah pernah lulus RUU antilompat parti - PBS

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah ketika di bawah pemerintahan Parti Bersatu Sabah (PBS) pernah meluluskan rang undang-undang (RUU) anti lompat parti bagi menghalang wakil rakyat itu melompat ke parti lain.

Setiausaha Agung PBS, Datuk Joniston Bangkuai, berkata RUU berkenaan dibentang dan diluluskan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada 1988 tetapi undang-undang itu tidak dapat dikuatkuasakan selepas Mahkamah Tinggi mengisytiharkan ia tidak sah sebelum dibatalkan.

Katanya, RUU itu membuktikan kesungguhan dan komitmen parti berkenaan untuk melihat undang-undang antilompat parti digubal di Parlimen seperti yang dicadang kerajaan Pusat ketika ini.

Beliau turut menekankan, sebagai parti yang pernah menjadi mangsa amalan lompat parti, PBS benar-benar mahu undang-undang antilompat parti menjadi kenyataan agar apa yang pernah dilalui parti itu tidak berulang semula.

"Sebagai mangsa lompat parti pada 1994, PBS menghargai cadangan kerajaan untuk membentangkan RUU Anti Lompat Parti di Parlimen. Bagi PBS, langkah ini menunjukkan kerajaan sangat mengambil berat kehendak rakyat," katanya dalam kenyataan hari ini.

PBS menjadi mangsa lompat parti pada 1994 apabila kerajaan yang dibentuknya selepas memenangi pilihan raya negeri (PRN) pada tahun berkenaan jatuh disebabkan tindakan tiga wakil rakyatnya melompat parti.

Selain peristiwa 1994 itu, PBS juga pernah berdepan pembelotan wakil rakyatnya sehingga memaksa DUN dibubarkan untuk PRN mengejut pada 1986 sebelum mendapat majoriti kukuh.

Peristiwa itu berlaku setahun selepas PBS berjaya membentuk kerajaan negeri selepas mengalahkan kerajaan Parti Bersatu Rakyat Jelata Sabah (BERJAYA) pada 1985.

PBS seterusnya memenangi PRN 1990 dan 1994, namun kemenangan pada 1994 hanya bertahan selama dua bulan apabila kerajaan pimpinan Tan Sri Joseph Pairin Kitingan ketika itu tumbang disebabkan tindakan tiga ADUN PBS melompat ke parti lain.

Joniston yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu, berkata, adalah tidak adil bagi seseorang ADUN atau Ahli Parlimen bertindak meninggalkan parti yang membolehkan mereka meraih kemenangan ketika pilihan raya.

"Rakyat yang memilih pemimpin ini untuk mewakili mereka dalam DUN dan Parlimen. Jika wakil rakyat terbabit dipilih atas platform parti, maka adalah adil untuk terus kekal setia kepada parti yang mereka wakili dan dipilih oleh rakyat," katanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, baru-baru ini berkata satu tinjauan mengenai cadangan itu dilaksanakan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang yang bermula sejak 23 November lalu hingga 7 Disember ini.

Cadangan undang-undang antilompat parti adalah antara komitmen disuarakan kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam usaha menghentikan perbuatan wakil rakyat melompat parti.

Berita Harian X