Rabu, 1 Disember 2021 | 3:50pm

'Tiada keperluan tunda Sidang Parlimen' - Khairy

PUTRAJAYA: Tiada keperluan untuk menunda Sidang Parlimen dan ia adalah langkah terakhir yang akan diambil oleh Kementerian Kesihatan (KKM) bagi membendung penularan COVID-19 di kawasan itu.

-

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata ini kerana pihaknya sudah mempunyai pengalaman dalam menangani kes positif COVID-19 atau kluster baharu yang wujud di negara ini.

"Kita kini sudah mempunyai kerangka bagaimana untuk menangani kes positif atau wujudnya kluster baharu, selain juga mempunyai pengalaman bagi situasi berkenaan.

"Jadi langkah untuk menutup Parlimen itu adalah yang terakhir akan diambil. Ini kerana, individu yang memasuki kawasan berkenaan perlu menjalani ujian saringan setiap dua hari.

"Dengan cara itu, kita dapat mengesan penularan kes dengan cepat serta boleh mengasingkan individu yang positif COVID-19, jadi tiada keperluan untuk menutup perjalanan Parlimen itu," katanya pada sidang media hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai keperluan menggantung Sidang Parlimen buat sementara waktu berikutan penularan kes COVID-19 di bangunan itu sejak Isnin lalu.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, dilaporkan berkata sehingga kini terdapat 25 kes positif COVID-19 yang dikesan melalui saringan berkala pada Persidangan Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Parlimen ke-14.

Katanya, kes positif COVID-19 yang dikesan di bangunan berkenaan berkemungkinan besar mempunyai varian membimbangkan (VOC) Delta.

Dalam pada itu, Khairy berkata, dengan mengamalkan penilaian kendiri Ujian, Lapor, Maklum, Kuarantin dan Dapatkan Rawatan (TRIIS), diharapkan apabila berlakunya penularan kes ia tidak perlu sehingga melaksanakan tindakan drastik seperti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau sekatan pergerakan penuh di negara ini.

Khairy pada sidang media khas mengenai varian baharu COVID-19, Omicron di Putrajaya hari ini. - Foto NSTP/Aizuddin Saad
Khairy pada sidang media khas mengenai varian baharu COVID-19, Omicron di Putrajaya hari ini. - Foto NSTP/Aizuddin Saad
Berita Harian X