Rabu, 1 Disember 2021 | 3:26pm

38 keluarga miskin KL terima sumbangan kediaman

KUALA LUMPUR: Seramai 38 keluarga miskin tegar di Kuala Lumpur menerima sumbangan kediaman menerusi inisiatif Baiti Jannati Keluarga Malaysia Tenaga Nasional Berhad (TNB) 2021.

Program itu adalah kerjasama strategik antara Kementerian Wilayah Persekutuan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) dan TNB dalam menyediakan kediaman kepada keluarga terpilih.

Seramai 30 keluarga menerima kediaman menerusi dua inisiatif iaitu Projek Baiti Jannati dan Projek Mesra Rakyat dengan peruntukan sebanyak RM1.5 juta, manakala lapan lagi keluarga miskin bukan Islam menerima kediaman hasil sumbangan YWP berjumlah RM400,000.

Pengerusi TNB, Datuk Seri Hasan Ariffin, berkata Baiti Jannati Keluarga Malaysia adalah inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) TNB yang dimulakan sejak tahun 2007.

"Ia dilaksanakan di seluruh negara dalam usaha membantu kerajaan membina kediaman baharu, membaik pulih dan membiayai kediaman golongan yang memerlukan supaya mereka dapat menjalani kehidupan yang selesa," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Rumah Baiti Jannati Keluarga Malaysia Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Pusat Kominiti Beringin di sini, hari ini.

Majlis itu disempurnakan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim.

Hasan berkata, sejak program itu diperkenalkan, sebanyak 879 rumah sudah dibaik pulih, dibina baharu dan dibiayai pembelian di seluruh Semenanjung membabitkan kos sebanyak RM39.22 juta.

Katanya, sumber dana projek itu adalah dari wang zakat perniagaan tahunan TNB yang dikembalikan Majlis Agama Islam Negeri.

"Bagi penduduk bukan Islam, sejak 2012 sebanyak 214 keluarga dari seluruh negara menikmati manfaat dengan pembiayaan lebih RM7.34 juta.

"TNB sentiasa prihatin serta mengambil berat nasib masyarakat setempat dan berharap bantuan yang diberikan ini dapat membantu penerima menjalani kehidupan lebih selesa," katanya.

Sementara itu, suri rumah, Aida Effa Alhit Shah, 38, berkata beliau bersyukur apabila penantian untuk memiliki kediaman sendiri akhirnya tercapai.

Ibu kepada 10 anak yang berusia dua hingga 17 tahun itu berkata, suaminya ketika ini bekerja sebagai pengawal keselamatan dengan pendapatan kira-kira RM2,000 sebulan.

"Dengan pendapatan sedemikian, kami memang tidak mampu membeli kediaman sendiri dan syukur kepada semua pihak yang membantu mencapai impian keluarga besar kami," katanya yang kini tinggal di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi.

Bapa kepada empat anak, Rosdi Osman, 47, bersyukur kerana kini memiliki kediaman sendiri selepas lebih 13 tahun menyewa di PPR Pantai Ria.

Selepas ini katanya, dengan hasil pendapatan sebagai buruh, beliau dan isteri boleh memberi tumpuan menjaga dua anak orang kurang upaya (OKU) berusia empat dan 18 tahun.

"Jika sebelum ini perlu membayar sewa rumah, kini tidak perlu lagi dan hanya perlu membayar wang penyelenggaraan secara bulanan sahaja," katanya.

Sementara itu, Shahidan berharap, dengan adanya kerjasama daripada pelbagai pihak, usaha untuk memastikan sifar miskin tegar mampu dilaksanakan bulan hadapan.

Katanya, ketika ini terdapat lebih 3,000 keluarga miskin tegar di PPRT dan mereka akan terus dibantu supaya keluar dari tahap kemiskinan.

"Miskin bandar adalah satu isu yang serius dan mereka ini antara yang perlu dibantu. Saya yakin dengan kerjasama pelbagai pihak, matlamat menjadikan negara tiada miskin tegar mampu dicapai," katanya.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (tiga dari kiri) menyampaikan replika kunci rumah kepada warga emas OKU, Yong Kam Hong dan Rohaya Mat Hua diperhatikan KSU Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Rosida Jaafar (dua dari kiri) dan Pengerusi TNB, Datuk Seri Hasan Arifin (empat dari kiri) - Foto NSTP/Hairul Anuar Rahim
Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (tiga dari kiri) menyampaikan replika kunci rumah kepada warga emas OKU, Yong Kam Hong dan Rohaya Mat Hua diperhatikan KSU Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Rosida Jaafar (dua dari kiri) dan Pengerusi TNB, Datuk Seri Hasan Arifin (empat dari kiri) - Foto NSTP/Hairul Anuar Rahim
Berita Harian X