Rabu, 1 Disember 2021 | 2:44pm

Malawi negara terkini dikenakan sekatan perjalanan di Malaysia

PUTRAJAYA: Malawi menjadi negara terkini dikenakan sekatan perjalanan melalui penerbangan terus atau transit di Malaysia bagi mengekang penularan varian baharu COVID-19, Omicron.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata ia sekali gus menjadikan jumlah negara dikenakan sekatan sementara itu mencecah lapan, setakat ini.

"Pada 26 November lalu, Kementerian Kesihatan (KKM) telah menyenaraikan Afrika Selatan, Botswana, Eswatini, Lesotho, Mozambique, Namibia dan Zimbabwe.

"Hari ini, Malawi turut dimasukkan yang menjadikan jumlah terkini ialah lapan negara dalam senarai sekatan perjalanan berkenaan," katanya pada sidang media, di sini.

Mengulas lanjut, Khairy berkata turut dikenakan sekatan perjalanan sementara ialah pengembara bukan

warganegara Malaysia dari negara yang melaporkan penularan varian Omicron atau negara yang berisiko tinggi berlaku penularannya.

Turut dikenakan sekatan ialah pengembara yang mempunyai sejarah perjalanan ke negara-negara berkenaan dalam tempoh 14 hari sebelum ketibaan.

"Bagaimanapun, tiada sekatan kemasukan dikenakan kepada warganegara Malaysia dan pemegang pas lawatan jangka panjang, namun mereka perlu jalani kuarantin wajib selama 14 hari di stesen kuarantin tanpa mengira status vaksinasi.

"Mereka perlu lakukan ujian pengesanan COVID-19 (RT-PCR) dalam tempoh 72 jam sebelum berlepas, semasa ketibaan di pintu masuk antarabangsa negara dan pada hari ke 10 tempoh kuarantin wajib.

"Penilaian risiko akan dibuat pada hari ke-14 tempoh kuarantin wajib dan akan dilanjutkan tempoh kuarantin sekiranya bergejala," katanya.

Sementara itu, Khairy, berkata pengembara warganegara Malaysia yang merancang melawat ke negara yang melaporkan penularan varian Omicron atau berisiko tinggi berlaku penularan tidak dibenarkan meneruskan perjalanan mereka.

Beliau berkata, perancangan Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) dengan negara terbabit turut ditangguhkan sehingga gambaran lebih jelas diperoleh mengenai penularan varian Omicron di peringkat global.

Dalam perkembangan berkaitan, Khairy berkata semua pelancong dari negara yang melaporkan penularan varian Omicron atau berisiko tinggi berlakunya penularan tidak dibenar menyertai program Gelembung Pelancongan Antarabangsa Langkawi.

Katanya, turut tidak dibenarkan ialah pelancong yang mempunyai sejarah perjalanan ke negara-negara tersebut dalam tempoh 14 hari.

"Warganegara Malaysia (penduduk Langkawi) yang pulang dari negara melaporkan penularan varian Omicron atau negara yang berisiko tinggi berlaku penularan, dibenarkan memasuki Malaysia melalui pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan perlu menjalani kuarantin wajib 14 hari di stesen kuarantin khas.

"Pelancong asing yang disahkan positif COVID-19 varian Omicron pula akan diisolasi di hospital swasta dan perlu menanggung sendiri kos rawatan," katanya.

Semua keputusan terbaharu ini dipersetujui oleh Mesyuarat Kuartet Menteri COVID-19 pada 30 November laly selepas KKM membentangkan cadangan langkah-langkah kawalan serta pencegahan varian Omicron.

(Gambar fail) Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin. - NSTP /ROHANIS SHUKRI
(Gambar fail) Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin. - NSTP /ROHANIS SHUKRI
Berita Harian X