Rabu, 1 Disember 2021 | 2:23pm

'Wajibkan pemasangan jeriji kediaman tinggi tak perlu kajian' - Shahidan

KUALA LUMPUR: Cadangan mewajibkan pemasangan jeriji pada tingkap dan balkoni kediaman tinggi di negara ini, tidak memerlukan kajian, sebaliknya wajar dilaksanakan segera, demi keselamatan penghuninya.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim, berkata sebelum ini beliau pernah meminta pengurusan bangunan membuat pemasangan kelengkapan itu demi langkah keselamatan, namun tidak dipersetujui.

"Ini (langkah pemasangan jeriji) tak payah kajian. Secara peribadi saya memang sokong kerana mempunyai pengalaman yang tak boleh dilupakan berlaku kepada keluarga sendiri, apabila anak terjatuh dan meninggal dunia kerana kediaman tiada jeriji.

"Bagi saya, bangunan tinggi yang bertingkap kena buat jeriji. Dulu nak buat jeriji, pengurusan tak bagi," katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Rumah Baiti Jannati Keluarga Malaysia Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Pusat Komuniti Beringin di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai langkah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) membentuk jawatankuasa khas bagi meneliti cadangan supaya kerajaan mewujudkan undang-undang mewajibkan pemasangan jeriji pada tingkap dan balkoni kediaman tinggi.

Menteri KPKT, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, dilaporkan berkata jawatankuasa khas diketuai Timbalan Ketua Setiausaha (Perumahan dan Kesejahteraan Komuniti), Datuk Azhar Ahmad, akan mengkaji cadangan itu lebih mendalam.

Shahidan berkata, berdasarkan lawatan ke kediaman tinggi di ibu kota ini, beliau mendapati pagar di kawasan perumahan itu turut dipasang terlalu rendah dari paras bahu.

Katanya, pagar tidak sepatutnya dipasang rendah bagi mengelak kejadian tidak diingini seperti tergelincir dan jatuh.

"Saya juga sudah maklumkan perkara ini kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah, supaya mengambil tindakan sewajarnya.

"Saya difahamkan jika pagar ditinggikan lagi menyebabkan kawasan menjadi tidak cantik, namun aspek keselamatan lebih penting," katanya.

Sementara itu, mengenai usaha KPKT itu, Mahadi berkata, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan bekerjasama dengan KPKT dalam mewujudkan undang-undang mewajibkan pemasangan jeriji pada tingkap dan balkoni kediaman tinggi

Akuinya, bangunan kediaman sekarang dibina lebih tinggi dan ada yang mencecah sehingga 50 hingga 60 tingkat berbanding sebelum ini antara 10 sehingga 15 tingkat.

"Jadi sudah tentu aspek keselamatan akan menjadi keutamaan kerana seperti kita maklum sudah banyak kejadian kemalangan yang berlaku membabitkan kediaman tinggi.

"Oleh itu kita (DBKL) akan bekerjasama dengan KPKT dalam usaha ini," katanya.

Shahidan (tiga dari kiri) menyampaikan replika kunci rumah kepada Chua Len Hua sambil diperhatikan KSU Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Rosida Jaafar (dua dari kiri), Pengerusi TNB, Datuk Seri Hasan Arifin (tiga dari kanan) dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah (kanan) ketika Program Baiti Jannati Keluarga Malaysia di Pusat Komuniti Beringin, Kuala Lumpur
Shahidan (tiga dari kiri) menyampaikan replika kunci rumah kepada Chua Len Hua sambil diperhatikan KSU Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Rosida Jaafar (dua dari kiri), Pengerusi TNB, Datuk Seri Hasan Arifin (tiga dari kanan) dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah (kanan) ketika Program Baiti Jannati Keluarga Malaysia di Pusat Komuniti Beringin, Kuala Lumpur
Berita Harian X