Rabu, 1 Disember 2021 | 11:30am
 Reezal Merican meninjau persekitaran PPR semasa mengadakan lawatan ke Program Perumahan Rakyat (PPR).
Reezal Merican meninjau persekitaran PPR semasa mengadakan lawatan ke Program Perumahan Rakyat (PPR).

Jawatankuasa khas teliti syor wajibkan jeriji balkoni

Kuala Lumpur: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) membentuk jawatankuasa khas bagi meneliti cadangan supaya kerajaan mewujudkan undang-undang mewajibkan pemasangan jeriji pada tingkap dan balkoni kediaman tinggi.

Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, berkata jawatankuasa khas diketuai Timbalan Ketua Setiausaha (Perumahan dan Kesejahteraan Komuniti), Datuk Azhar Ahmad itu akan mengkaji cadangan berkenaan lebih mendalam.

"Selain itu, jawatankuasa khas berkenaan juga akan meneliti cadangan untuk kerajaan mewujudkan undang-undang kecil bangunan strata bagi meningkatkan ciri keselamatan bangunan tinggi seperti pangsapuri dan kondominium.

"Ia (jawatankuasa khas) akan meneliti semua perkara, termasuk cadangan daripada semua pihak dan diberi tempoh dua bulan untuk mengemukakan cadangan serta langkah seterusnya yang wajar diambil oleh kerajaan," katanya dalam kenyataan, semalam.

Beliau berkata demikian mengulas gesaan pelbagai pihak supaya kerajaan menggubal undang-undang mewajibkan pemasangan peralatan keselamatan seperti jeriji di tingkap dan balkoni kediaman tinggi bagi mengelak kejadian tidak diingini.

Katanya, Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT), Jabatan Perumahan Negara (JPN) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) juga akan terbabit dalam menilai perkara itu.

Bagaimanapun, beliau berkata, perkara itu perlu melalui perbincangan menyeluruh membabitkan pelbagai pihak seperti Jabatan Kerja Raya (JKR), Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan (NIOSH) serta pakar dalam bidang itu termasuk juga pemain industri.

Sementara itu, Reezal Merican berkata, pemaju dan badan pengurusan bersama serta perbadanan pengurusan boleh membuat undang-undang kecil tambahan berhubung pemasangan alat keselamatan di tingkap atau balkoni seperti jeriji.

Beliau berkata, setiap pembinaan kediaman tinggi sama ada oleh pihak swasta atau kerajaan perlu direka bentuk dengan ciri keselamatan ditetapkan peraturan dan undang-undang dalam melindungi keselamatan penghuni, termasuk kanak-kanak.

Katanya, perkara itu tertakluk di bawah standard yang diperuntukkan mengikut Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam 1984 (UKBS 1984).

"Antara peruntukan itu berkaitan railing atau susur tangan yang mempunyai ciri keselamatan seperti reka bentuk anti-climb bagi melindungi kanak-kanak dan perlu disediakan untuk semua balkoni dan koridor terbuka dengan ketinggian sekurang-kurangnya 1.2 meter daripada asas lantai siap," katanya.

Mengulas beberapa insiden kanak-kanak terjatuh di perumahan strata atau kediaman tinggi, Reezal Merican berkata perkara itu mempunyai unsur kecuaian di pihak penjaga atau ibu bapa.

Berita Harian X