Rabu, 1 Disember 2021 | 11:04am
Ismail Sabri bersama Dr Ronald Kiandee mengadakan tinjauan harga pelbagai jenis barangan basah ketika melawat My Farm Outlet Kasih di Presint 9, Putrajaya. FOTO AIZUDDIN SAAD
Ismail Sabri bersama Dr Ronald Kiandee mengadakan tinjauan harga pelbagai jenis barangan basah ketika melawat My Farm Outlet Kasih di Presint 9, Putrajaya. FOTO AIZUDDIN SAAD

Ayam import, ikan sejuk beku dilambakkan dalam pasaran

PUTRAJAYA: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengarahkan bekalan ayam import dan ikan sejuk beku yang disimpan sebagai stok di bawah program Q'Fish dilambakkan dalam pasaran sebagai langkah segera menstabilkan harga.

Perdana Menteri berkata, untuk tujuan itu Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) akan mengimport 200 hingga 300 kontena ayam sejuk beku seawal minggu depan.

Katanya, negara sumber bekalan ayam import itu akan diputuskan oleh MAFI kerana terdapat banyak pilihan sama ada dari China atau Thailand.

Bagi bekalan ikan pula, katanya stok ikan sejuk beku di bawah program Q'Fish kendalian Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) akan memasuki pasaran, manakala pengeksportan ikan dihentikan buat sementara waktu.

"Kita banjirkan pasaran dengan ayam daripada luar yang harganya lebih murah berbanding harga ayam tempatan supaya pengguna ada pilihan.

"Ikan juga semakin naik harga kerana musim tengkujuh sudah bermula tetapi kita boleh melambakkan pasaran dengan stok ikan sejuk beku di bawah program Q'Fish yang tujuannya untuk dikeluarkan pada musim tengkujuh.

"Saya juga minta Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Ronald Kiandee kalau boleh kita hentikan eksport ikan ke luar negara (untuk sementara waktu) kerana yang pentingnya adalah kebajikan rakyat yang dibebankan dengan kenaikan harga," katanya kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan di MyFarm Outlet Kasih Putrajaya, hari ini.

Perdana Menteri yang diiringi Ronald meluangkan masa kira-kira 40 minit untuk membuat tinjauan harga di pusat jualan yang merupakan inisiatif Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

Mengulas lanjut, Perdana Menteri, mengakui larangan pengeksportan ikan mungkin bertentangan dengan etika kerana pembekal dan pembeli telah membuat perjanjian, namun tindakan keras terpaksa dibuat demi kebajikan rakyat.

Katanya, larangan sementara itu juga pernah dibuat sebelum ini pada musim tengkujuh untuk mengelakkan bekalan dalam negara tidak mencukupi.

"Bagi saya, sudah sampai masanya (larangan eksport sementara) walaupun kurang etika sedikit kerana mereka mungkin sudah ada perjanjian dan sebagainya.

"Tetapi ada masa tertentu kita terpaksa melupakan perkara lain demi kepentingan rakyat. Kalau nak jaga harga ikan untuk rakyat, kita terpaksa lakukan (tindakan) yang kadang-kadang keras," tegasnya.

Mengenai tinjauan harga bahan basah di MyFarm Outlet Kasih Putrajaya, Perdana Menteri mengakui kenaikan harga berlaku.

Katanya, harga ayam umpamanya didapati meningkat sehingga RM9.50 ke RM9.80 sekilogram dan sangat jarang berlaku walaupun sebelum ini ia pernah mencecah lebih RM10 sekilogram.

"Kebiasaannya harga ayam RM7 ke RM8 sekilogram, kenaikannya tinggi. Pelbagai alasan diberikan oleh penternak dari segi kenaikan harga makanan ayam dan sebagainya, ada pelbagai isu dibangkitkan," jelasnya.

Mengulas kenaikan harga roti, Ismail Sabri berkata harga bahan utama pembuatannya iaitu gandum yang diimport mungkin memberi kesan kepada harganya.

Bagaimanapun katanya, beliau telah memaklumkan KPDNHEP supaya membuat kajian kenapa kos meningkat, bukannya mendengar pelbagai alasan daripada pengeluar.

"Kos import berapa, harga dari luar negara berapa, sampai ke pelabuhan (harga jadi berapa), semua rantaian ini saya minta KPDNHEP buat kajian secara terperinci.

"Kita tak boleh kata kerana harga gandum naik maka kita naikkan harga (roti). Kita kena telus," katanya.

Berkenaan kenaikan harga ais, Perdana Menteri menegaskan ia tidak sepatutnya berlaku kerana bekalan air mentah adalah murah manakala tarif elektrik tidak dinaikkan.

"Kalau kilang air batu nak naikkan harga, tak ada sebab. Kalau TNB naikkan tarif, betullah ada alasan," katanya.

Berita Harian X