Rabu, 1 Disember 2021 | 10:25am
Penduduk mendakwa lebih 70 kediaman di Pangsapuri Seri Cempaka, Pinggiran Tasik Kiambang mengalami keretakan pada bahagian struktur bangunan. - Foto NSTP
Penduduk mendakwa lebih 70 kediaman di Pangsapuri Seri Cempaka, Pinggiran Tasik Kiambang mengalami keretakan pada bahagian struktur bangunan. - Foto NSTP

Penduduk bimbang pangsapuri tak selamat

SERENDAH: Seramai 450 penduduk daripada 120 keluarga di Pangsapuri Seri Cempaka, Taman Pinggiran Tasik Kiambang, di sini, hidup dalam kebimbangan berikutan berlaku keretakan pada struktur kediaman mereka yang didakwa semakin teruk.

Tinjauan BH di tiga blok pangsapuri lima tingkat berusia lebih 15 tahun itu mendapati, terdapat keretakan terutama di aras bawah struktur dinding luar bangunan dan beranda kebanyakan rumah.

Beberapa parkir kenderaan juga terpaksa dikosongkan atas faktor keselamatan kerana penduduk mengesan mendapan tanah yang membentuk beberapa lubang besar.

Selain itu, penduduk juga mendakwa terdapat laluan air di bawah bangunan terbabit yang boleh menyebabkan berlaku mendapan tanah, selain penghuni di Blok C pula kerap berdepan banjir sekurang-kurang tiga kali setahun kerana kawasan hutan di belakang bangunan itu tidak dilengkapi benteng penahan aliran air.

Keretakan struktur bangunan Blok C Pangsapuri Seri Cempaka, Pinggiran Tasik Kiambang. - NSTP/Rohanis Shukri
Keretakan struktur bangunan Blok C Pangsapuri Seri Cempaka, Pinggiran Tasik Kiambang. - NSTP/Rohanis Shukri

Wakil penduduk Pangsapuri Seri Cempaka, Anuar Mohd Jali, berkata kebanyakan penduduk berasa tidak selamat mendiami kediaman masing-masing, namun terpaksa bertahan dan merisikokan keselamatan diri kerana tiada pilihan lain.

"Kami mengesan lebih 70 kediaman di sini mengalami keretakan, dipercayai disebabkan kualiti pembinaan kediaman yang teruk.

"Bahagian luar dinding pangsapuri ini, terutama di Blok B menunjukkan kesan retak paling ketara. Bayangkan, di belakang blok ini ada taman perumahan yang jaraknya sangat dekat.

"Jika berlaku runtuhan, tentunya mendatangkan risiko lebih besar bukan sahaja kepada penduduk di sini, tetapi nyawa orang lain di kawasan sekitarnya," katanya ketika ditemui.

Kelihatan keretakan struktur bangunan Blok C Pangsapuri Seri Cempaka, Pinggiran Tasik Kiambang. - NSTP/Rohanis Shukri
Kelihatan keretakan struktur bangunan Blok C Pangsapuri Seri Cempaka, Pinggiran Tasik Kiambang. - NSTP/Rohanis Shukri

Katanya, susulan aduan tidak diendahkan penduduk terpaksa bergotong-royong menampal sendiri dinding bangunan yang retak dan lubang di sekitar kawasan parkir kenderaan.

"Pihak Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Selangor/Wilayah Persekutuan pernah melakukan lawatan tapak ke kawasan ini pada Februari lalu dan penduduk sudah melakukan pelbagai usaha termasuk memanggil semula pemaju serta mengemukakan aduan kepada Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS).

"Malangnya, tiada tindakan susulan diambil sehingga hari ini, termasuk penduduk masih menunggu laporan daripada pihak JMG untuk tindakan lanjut," katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Bernam, Datuk Rosni Sohar, berkata pihaknya akan memanjangkan isu yang membelenggu penduduk di situ kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan untuk tindakan lanjut.

"Saya berkesempatan melawat Pangsapuri Seri Cempaka pada Ahad lalu dan berjanji membawa isu ini kepada Yang Dipertua MPHS, Mohd Hasry Nor Mohd.

"Ia bertujuan mendapatkan maklumat berhubung langkah penyelesaian dan tindakan yang akan diambil oleh MPHS. Jika tiada sebarang tindakan, saya akan membawanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor," katanya.

Sementara itu, Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Selangor/Wilayah Persekutuan mengesan terdapat pergerakan tanah di kawasan Pangsapuri Seri Cempaka, Taman Pinggiran Tasik Kiambang, Serendah, yang didakwa penduduk tidak selamat untuk diduduki.

Lubang sebesar tapak tangan terbentuk di kawasan parkir kenderaan di bangunan Blok C Pangsapuri Seri Cempaka, Pinggiran Tasik Kiambang. - NSTP/Rohanis Shukri
Lubang sebesar tapak tangan terbentuk di kawasan parkir kenderaan di bangunan Blok C Pangsapuri Seri Cempaka, Pinggiran Tasik Kiambang. - NSTP/Rohanis Shukri

Ketua Penolong Pengarahnya, Syed Omar, berkata petunjuk awal hasil lawatan ke tapak itu adalah berdasarkan keretakan pada longkang dan dinding pangsapuri berkenaan.

Katanya, bagaimanapun status sebenar tapak pangsapuri itu hanya boleh diketahui melalui kajian kestabilan tanah yang setakat ini belum dilaksanakan.

"JMG belum buat kajian, dulu kita ada lawatan tapak bersama Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) dan wakil penduduk kerana kita hendak tengok kestabilan terkini tapak itu.

"Ketika lawatan, kita nampak ada keretakan pada bangunan dan longkang. Ini menunjukkan tapak itu ada sedikit pergerakan tanah.

"Tetapi sejauh mana pergerakan itu (serius) kita tidak boleh buat kesimpulan lagi," katanya kepada BH.

Beliau mengulas kebimbangan 450 penghuni daripada 120 keluarga di pangsapuri itu yang hidup dalam kebimbangan disebabkan berlaku keretakan pada struktur kediaman yang didakwa semakin teruk.

Syed berkata, selepas lawatan ke tapak berkenaan pihaknya sudah membuat syor kepada MPHS supaya mengambil beberapa tindakan seperti membaikpulih keretakan dan membuat kajian lanjut.

Beliau berkata, sekiranya pangsapuri itu berada di bawah bidang kuasa MPHS, mereka boleh meminta nasihat dan bantuan daripada JMG untuk membuat kajian kestabilan.

"Kita tidak tahu lagi status kestabilannya (tanah) selepas kajian dibuat, barulah ia dapat disahkan," katanya.

Berita Harian X