Selasa, 30 November 2021 | 8:52pm
Guan Eng hadir ke mahkamah bagi perbicaraan kes rasuah pembinaan terowong dasar laut di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.- NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM
Guan Eng hadir ke mahkamah bagi perbicaraan kes rasuah pembinaan terowong dasar laut di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.- NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM

'Rakaman kenyataan mendiang Swee Keng direka palsu'

KUALA LUMPUR: Pasukan pembelaan dalam perbicaraan kes rasuah bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mengemukakan bantahan terhadap rakaman kenyataan daripada pengasas dan Pengerusi Eksekutif Ewein Bhd, Datuk Ewe Swee Keng dengan menyifatkan ia sebagai direka palsu.

Swee Keng, 53, yang sepatutnya dipanggil sebagai saksi pendakwaan ke-15 meninggal dunia selepas dikatakan terjatuh dari sebuah unit kondominium mewah di Jalan Kelawei, Pulau Pinang, pada 5 Oktober lalu.

Peguam Gobind Singh Deo yang mewakili Guan Eng, 60, berkata kenyataan itu perlu ditolak kerana ia bertarikh 14 Ogos lalu dan dirakam Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta tidak mematuhi Seksyen 30 (8) Akta SPRM.

Beliau mempersoalkan mengapa bahagian tertentu kenyataan itu ditulis tangan dan bahagian lain pula dalam format berkomputer sedangkan undang-undang menetapkan setiap bahagian kenyataan direkodkan pegawai SPRM perlu secara bertulis.

"Tiga kenyataan pertama direkodkan secara berasingan oleh SPRM daripada Swee Keng tahun lalu seolah-olah membebaskan Guan Eng, tetapi kenyataan keempat direkodkan tahun ini, bagaimanapun seolah-olah membabitkan anak guam saya.

"Satu-satunya implikasi di sini ialah ia (kenyataan kononnya direkodkan SPRM daripada Swee Keng) adalah direka palsu. Jadi, saya memohon mahkamah tidak membenarkan semua empat kenyataan itu diterima sebagai keterangan," katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin mengemukakan bahawa kenyataan SPRM itu boleh diterima secara sah sebagai bukti kerana pihak pembelaan gagal mencabar bahagian rakaman kenyataan SPRM bahawa mendiang Swee Keng tidak dipaksa memberi kenyataan itu.

"Pihak pembelaan gagal mencabar kenyataan lima muka surat direkodkan SPRM bahawa saksi (Swee Keng) tidak dipaksa memberi kenyataan dan bercakap benar kepada SPRM," katanya.

Selepas mendengar penghujahan kedua-dua pihak, Hakim Azura Alwi menetapkan 13 Disember ini untuk memutuskan perkara itu.

Terdahulu, mahkamah mendengar keterangan saksi pendakwaan ke-16, Foo Jee Hai, 49, yang juga Pengarah Emicro Services Sdn Bhd, bahawa beliau memperkenalkan Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli, kontraktor projek terowong dasar laut Pulau Pinang dan projek jalan utama di negeri itu kepada Swee Keng pada 2011.

Guan Eng berdepan pertuduhan pindaan menggunakan kedudukan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang untuk menerima rasuah RM3.3 juta sebagai tindakan membantu syarikat milik Zarul Ahmad mendapatkan projek pembinaan bernilai RM6,341,383,702 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, Komtar, Georgetown antara Januari 2011 hingga Ogos 2017.

Mengikut pertuduhan pindaan kedua, Guan Eng didakwa meminta suapan daripada Zarul Ahmad sebanyak 10 peratus daripada keuntungan diperoleh syarikat itu sebagai penghargaan mendapatkan projek berhampiran The Garden Hotels, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City, Kuala Lumpur pada Mac 2011.

Setiausaha Agung DAP itu turut berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah bernilai RM208.8 juta milik Kerajaan Pulau Pinang dilupuskan kepada dua syarikat yang didakwa mempunyai kaitan dengan projek terowong dasar laut itu.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Tanah dan Galian Pulau Pinang, Tingkat 21, Komtar pada 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017. – BERNAMA

Berita Harian X