Selasa, 30 November 2021 | 6:56pm
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Tan Sri Noh Omar
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Tan Sri Noh Omar

MEDAC tidak ambil tindakan usahawan gagal lunas pinjaman

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) tidak akan mengambil tindakan undang-undang ke atas usahawan yang gagal membayar pinjaman kepada agensi di bawah kementerian itu, buat masa ini.

Menterinya, Tan Sri Noh Omar, berkata beliau sudah memberi arahan mengenai perkara itu kepada agensi yang terbabit berikutan golongan usahawan kini dalam proses membina semula perniagaan mereka yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

"Tidak ada tindakan undang-undang yang akan diambil. Ini bukan masanya kita nak ambil tindakan terhadap usahawan, yang akan menyebabkan mereka bankrap atau gulung tikar.

"Tunggu dulu. Selepas enam bulan nanti, baru tindakan ini boleh kita ambil kerana kita faham masalah yang dihadapi rakyat.

"MEDAC dan agensi di bawahnya akan sedaya upaya memastikan usahawan yang sedang menghadapi masalah ini dapat meneruskan perniagaan kerana kita sedang dalam fasa pembangunan ekonomi dan mahu membantu usahawan ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan Bajet 2022 Peringkat Jawatankuasa bagi kementeriannya di Dewan Rakyat, hari ini.

Selain itu, Noh memaklumkan, beliau sedang berbincang dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berhubung pertindihan kuasa kedua-dua kementerian itu dalam mengawal selia Perbadanan Nasional Bhd (PERNAS).

"Pentadbiran PERNAS di bawah MEDAC tapi akta di bawah KPDNHEP. Kita akan cuba selaraskan, sama ada ia akan berada di bawah kita atau KPDNHEP.

"Saya tidak kisah jika ia diambil alih KPDNHEP asalkan ia memudahkan rakyat," katanya.

Mengenai penubuhan Universiti Keusahawanan dan Koperasi Malaysia, Noh berkata, penubuhannya kini di peringkat akhir dan pihaknya kini memenuhi syarat yang ditetapkan Jabatan Pengajian Tinggi (JPT).

"Kita akan cuba usahakan secepat mungkin. Mungkin ia akan ditubuhkan sebelum Julai atau paling cepat, pada Mac ini," katanya.

Berita Harian X